SLMT DTG

~ SELAMAT DATANG KE BLOG KARYA AGUNG MELAYU :)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Blog ini adalah salah satu tugasan kursus BMS 3022 Karya Agung Melayu (2016) kumpulan 2

Tokoh-tokoh Karya Agung

MUNSYI ABDULLAH

Munsyi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir dilahirkan pada tahun 1796 di Kampung Pali, Melaka. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik. Setelah kematian ketiga-tiga abangnya, Munsyi Abdullah menjadi anak tunggal dalam keluarga tersebut. Beliau dibesarkan daripada keluarga India Muslim berketurunan Arab. Sejak berumur tujuh tahun, Munsyi Abdullah telah diberi pendidikan membaca dan menulis. Ketegasan ayahnya dalam mendidikan Munsyi Abdullah menjadi faktor utama menyebabkan beliau suka kepada pelajaran.
            Munsyi Abdullah banyak menghabiskan masa kanak-kanaknya di Melaka. Beliau mula menulis pada usia empat tahun dengan bertulisan cakar ayam di papan tulis. Pada usianya enam tahun, beliau diserang penyakit yang teruk. Setahun kemudian, ketika rakan-rakan sebayanya sudah pandai membaca Al-Quran, beliau masih belum dapat membaca Al-Quran. Oleh  sebab itu, Munsyi Abdullah telah belajar menulis tulisan-tulisan berbahasa Arab dengan meniru tulisan tersebut bersama gurunya. Abdul Kadir yang geram akan kemunduran Munsyi Abdullah itu dan telah menghantarnya ke Sekolah Qur’an Kampung Pali. Abdullah Munsyi selalu dipantau oleh ayahya, Abdul Kadir. Abdul Kadir tidak suka anaknya itu mengabaikan pengajian Al-Quran. Abdullah Munsyi juga pernah dipaksa oleh bapanya untuk menterjemahkan teks Arab ke bahasa Melayu.
            Pada usia 13 tahun, Munsyi Abdullah menulis Kitab Al-Quran untuk askar Islam di Melaka Garison. Pada tahun 1810, Munsyi Abdullah pernah diupah menjadi jurubahasa Stamford Raffles yang telah tiba ke Melaka. Beliau juga merupakan antara pekerja yang paling muda pada masa itu. Sewaktu itu, Abdullah Munsyi mengalami berbagai-bagai pengalaman dan berjaya menghasilkan beberapa karyanya yang penting. Munsyi Abdullah telah menamatkan riwayatnya di Jeddah pada tahun 1854 dalam perjalanan menunaikan fardu haji. 

TUN SERI LANANG
Tun Seri Lanang atau nama sebenarnya  Tun Muhammad merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Kedudukan beliau sebagai Bendahara Paduka Raja, Johor adalah pada tahun 1580 dan 1615. Beliau dikatakan mempunyai darah keturunan Tun Perak, iaitu seorang bendahara Melaka yang sangat bijak  dan telah membawa Melaka ke persada dunia. Kehebatan Tun Seri Lanang sebenarnya bukan dari aspek penulisan dan kepengarangan sebaliknya melalui aspek kepimpinan. Namun begitu, minat beliau dalam bidang kepengarangan dan beliau telah menerima tugasan untuk menyusun, menambah dan memperbaik teks daripada Goa dengan sempurna.
            Tun Seri Lanang merupakan individu yang telah melahirkan karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang merangkumi pelbagai cerita sejarah Melayu. Jawa, Patani dan Champa. Sejarah Melayu ditulis pada sekitar 103 tahun setelah Melaka ditakluk oleh Portugis. Penulisan ini disiapkan dalam jangka masa dua tahun dan dinamakan sebagai Sulalatus Salatin yang bermaksud “Salasilah Segala Raja-raja” dan kemudian telah diterjemahkan oleh golongan moden menjadi Sejarah Melayu. Sejarah Melayu berisi dengan sejarah Melaka daripada zaman pertumbuhannya, zaman keemasan dan akhirnya zaman keruntuhannya di tangan Portugis.
Sulalatus Salatin yang ditulis dan disusun atas perintah Raja Abdullah Maayah Shah berdasarkan naskah Sejarah Melayu merupakan antara sumbangan besar yang dilakukan oleh Tun Seri Lanang dalam perkembangan kesusasteraan Melayu Tradisional. Tun Seri Lanang bertindak menulis naskah tersebut dan menyusun semula Sulalatus Salatin. Pelbagai perubahan dan penambahan dilakukan beliau sehingga lengkap Sulalatus Salatin menggambarkan sejarah orang Melayu dan pemerintahan Melayu terutama pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka. Peradaban Melayu menunjukkan perkembangan dengan adanya Sejarah Melayu. Tun Seri Lanang berusaha untuk mengangkat martabat dan kedudukan Raja-raja Melaka pada ketika itu. Beliau merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan sesebuah negara dan Raja-raja Melayu sejak zaman Raja Iskandar pada abad ke-15 sehinggalah ke era pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah pada abad ke-17. Tun Seri Lanang menghasilkan karya ini dalam bentuk yang sangat menarik. Beliau menggambarkan kebijaksanaannya, pengetahuannya yang luas serta kreatif dan estetik dalam kepengarangannya itu. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini telah menjadi perhatian dan rujukan sastera bagi orang Melayu sejak zaman berzaman.
Keintelektualan dan ketokohan Tun Seri Lanang dapat dilihat khusunya dalam bidang persuratan Melayu. Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) telah memperkenalkan anugerah khas bagi menyemarakkan dunia penulisan Melayu, iaitu Anugerah Tun Seri Lanang, anugerah Tertinggi yang akan mengiktiraf penulis-penulis di Singapura sebagai tokoh seni yang ulung di mata masyarakat berbilang bangsa. Hal ini dilihat bahawa ketokohan Tun Seri Lanang sebenarnya telah mendorong perkembangan bahasa dengan begitu hebat sekali di Singapura. Tuntasnya, tokoh hebat ini merupakan tokoh yang telah banyak memberikan sumbangan terhadap perkembangan bahasa melalui penulisan beliau dan perkembangan dalam peradaban Melayu melalui isi-isi kandungan penulisan beliau.  Tun Sri Lanang akhirnya meninggal dunia di Samalanga, Acheh pada 1659 Masihi.

RAJA ALI HAJI
Raja Ali Haji atau nama sebenarnya Raja Ali Haji bin Raja Ahmad Haji dilahirkan di Penyengat, Riau pada sekitar tahun 1809.  Bapanya merupakan seorang tokoh intelektual tradisional Riau yang pernah melibatkan diri dalam perkembangan politik di sekitar kepulauan Johor-Riau selain pernah menjadi utusan Sultan Riau kepada Gabenor Belanda, Van Der Capellen di Jakarta. Perjalanan ulang alik dari Riau ke Jakarta telah membawa Raja Ali Haji untuk menyertai bapanya dan menimba pengalaman yang sangat bernilai, antaranya dapat menemui sarjana Barat seperti H. Von Der Waal.
            Raja Ali Haji telah menunaikan haji dan belajar bahasa Arab, pengetahuan agama serta ilmu sufi yang amat berguna pada kerja sastera dan tugasnya kemudian sebagai Perdana Menteri kepada Raja Riau dan penasihat politik kepada Yang di Pertuan Muda Riau. Perkembangan yang berlaku di Penyengat sehingga menjadi pusat kebudayaan Melayu dan Islam yang penting di abad ke-19 merupakan hasil kegigihan beliau. Kedudukan Raja Ali Haji sebagai pendidik ilmu tasawuf kepada orang-orang besar di istana kerajaan Riau dan juga rakyat umum adalah satu keistimewaan kerana penulisannya dipengaruhi oleh pandangannya sebagai seorang pemerhati.
              Raja Ali Haji telah menghasilkan lebih kurang 14 buah karya terutamanya dalam bidang penulisan, pemikir dan konsep Islamisme dalam penulisan. Antara karya yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji ialah Tuhfat al-Nafis yang menceritakan pengalaman pahit orang Melayu kerana kehilangan hak pemerintahan. Kehilangan kuasa Melayu berpunca daripada kejahilan raja Melayu yang tidak nampak muslihat Bugis, malah meraikan Bugis sebagai penyelamat yang mengembalikan kedaulatan mereka. Tuhfat al-Nafis ditulis oleh beliau secara kritis dan indah melalui peristiwa yang berlaku secara teliti.
            Antara sumbangan Raja Ali Haji ialah mengembangkan Penyengat sebagai pusat kebudayaan Melayu dan Islam. Tindakan beliau telah mengembangkan bahasa, nilai budaya dan pemikiran masyarakat melalui karya-karya yang beliau hasilkan. Gaya penulisan Raja Ali Haji lebih berbentuk bahasa Melayu klasik kerana beliau seorang yang berpendidikan Arab dan juga pendakwah. Selain itu, Raja Ali Haji juga muncul sebagai seorang tokoh bahasa, kesusasteraan, sejarah, plitik dan tokoh agama pada zamannya. Kemunculan beliau sebagai tokoh bahasa ini sangat membantu perkembangan bahasa dan peradaban Melayu pada zaman tersebut. Beliau juga telah menulis tentang tatabahasa bahasa Melayu dalam Bustanul Katibin dan cuba menyusun semula kamus Melayu melalui Kitab Pengetahuan Bahasa.
            Selain itu, Raja Ali Haji juga sangat gigih membuat catatan sejarah yang lengkap tentang keturunan Raja-raja Melayu dan Bugis dalam bentuk penulis kreatif yang terakam dalam Tuhfat al-Nafis. Kegigihan beliau ini akan meninggalkan satu kesan terhadap perkembangan peradaban Melayu. Tuntasnya, Raja Ali Haji merupakan satu nama besar dalam perkembangan bahasa dan peradaban Melayu malah agama Islam. Usaha beliau bukan sahaja telah menjadikan diri beliau sendiri masyhur malah masyarakat dan dunia juga mendapat manfaat yang sama. Dunia hari ini dilihat mempunyai seorang tokoh yang tiada tolok bandingnya.

HAMZAH FANSURI

Hamzah Mansuri merupakan seorang pujangga Melayu yang terkenal pada zaman kesultanan Acheh. Beliau dilahirkan di Fansur, di Sumatera. Tahun kelahiran beliau tidak diketahui, namun ada yang berpendapat bahawa beliau lahir pada penghujung abad –16. Hamzah Fansuri dikenali sebagai seorang ulama tasawuf dan sasterawan sehinggakan beliau mengembara dari satu negeri ke satu negeri yang lain untuk menambahkan ilmu, dan mendalami tasawuf dengan lebih mendalam. Selain menimba ilmu di Acheh, beliau juga telah mengembara ke pelbagai tempat, antaranya ke Banten (Jawa Barat). Sumber ini mengatakan bahawa beliau pernah mengembara keseluruh tanah Jawa Semenanjung Tanah Melayu India, Parsi dan Arab. Hamzah Fansuri juga dikenali sebagai perintis dan pelopor dalam bidang kerohanian, keilmuan, bahasa, sastera dan falsafah.
          Selain itu, Hamzah Fansuri seorang guru dan ulama yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang tasawuf, fikh, mantik, sastera, sejarah dan falsafah. Hamzah Fansuri juga gemar untuk menulis sastera dalam bentuk puisi dan prosa. Antara prosa tulisan Hamzah Fansuri ialah kitab-kitab agama dan tasawuf. Contohnya, Asrarul Arifin fi Bayani Ilmia Suluk wat Tauhid merupakan sebuah karya tasawuf yang mengandungi akidah aliran Wahdatul Wujud. Manakala karya Al-Muntahi dan Syarbul Asyiqin atau Zinatul Muwahhidin mengandungi yang syariah, hakikat, tarikan dan makrifat. Karya-karya Hamzah Fansuri yang berbentuk syair ataupun berbentuk prosa banyak menarik perhatian para sarjana batau atau orientalis barat ataupun sarjana tanah air.
          Terdapat pelbagai tafsiran mengenai masa kematian Hamzah Fansuri. Menurut Muhammad Naguib al-Attas, Hamzah Fansuri telah meninggal dunia ketika tahun 1907. Manakala, L.F Brakel menyebutkan bahawa Hamzah Fansuri masih hidup sehingga tahun 1620.

ABDUL RAUF SINGKEL

Nama sebenar Abdul Rauf Al-Singkel ialah Amin al-Din Abdul Rauf ibn Ali al-Jawi al-Fansuri As-Singkili. Beliau dilahirkan di Singkel, Kabupaten Aceh Selatan pada 1620 M. Ayahnya seorang guru dan mubaligh yang bernama Ali berasal dari Persia atau Arabia yang datang dan menetap di Singkil, Aceh, pada akhir abad ke-13. Sesuai dengan gelaran al-Fansuri, ibu Abdul Rauf berasal dari Desa Fansur Barus. Sedangkan gelaran al-Singkili adalah kerana beliau lahir di daerah Singkel, Aceh. Zaman mudanya, beliau mula belajar agama Islam dengan ayahnya sendiri. Mengenai latar belakang pendidikannya, Abdul Rauf telah mempunyai dasar agama yang cukup kuat. Dalam sekitar tahun 1642 beliau telah merantau ke tanah Arab.
Kepergiannya adalah kerana adanya kontroversi dan pertikaian antara Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumatrani dengan Nurudin ar Raniri dan para pengikutnya. Dengan alasan Abdul Rauf mengetahui semua permasalahan yang mengakibatkan terjadinya pembakaran karya-karya Hamzah Fansuri. Akan tetapi, ada pendapat lain yang mengatakan bahwa kepergiannya ke tanah Arab untuk menunaikan ibadah haji. Selama di tanah Arab, Abdul Rauf telah belajar dengan sejumlah guru, ulama, dan tokoh-tokoh ternama di Jeddah, Makkah, Madinah, Mokha, Bait al Faqih, dan tempat-tempat lain. Seseorang yang dikatakan paling berpengaruh bagi diri Abdul Rauf adalah Syeikh Shafiuddin Ahmad Al-Dajjani Al Qusyasyi, iaitu gurunya di Madinah.
Darinya Abdul Rauf mendapat ijazah dan khirqah untuk menjadi khalifah dalam Thariqat Syaththariyyah dan Qadiriyyah. Abdul Rauf bukanlah sekadar ulama tasawuf, tetapi juga ahli ilmu-ilmu lain seperti tafsir, fiqih, dan hadits.. Murid yang berguru dengan beliau ramai dan berasal dari Aceh serta wilayah Nusantara lain. Beberapa orang yang menjadi ulama terkenal ialah Syekh Burhanuddin Ulakan (dari Pariaman, Sumatera Barat) dan Syekh Abdul Muhyi Pamijahan (dari Tasikmalaya, Jawa Barat). Oleh kerana pola pemikiran Abdul Rauf menarik hati Sultanah Safiyyatudin yang saat itu memerintah Kesultanan Aceh, Abdul Rauf akhirnya diangkat sebagai Qadi Malik al ‘Addil yang bertanggungjawab atas administrasi masalah-masalah keagamaan. Abdul Rauf wafat pada tahun 1693 dan dimakamkan di dekat Kuala Sungai Aceh. Oleh itu, beliau mendapat sebutan Tengku di Kuala. Kini, namanya diabadikan menjadi nama sebuah perguruan tinggi di Aceh, iaitu Universitas Syaikh Kuala.

Antara lain bidang yang diceburi oleh beliau ialah ‘Bidang Penulisan’.Sebagai seorang pengarang, banyak karya-karya beliau yang dihasilkan dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan. Antara lain ialahTarikat al- Syatariyah; biasanya ajaran tasawuf dipraktikkan hanya dalam bentuk pencapaian kepuasan spiritual yang bersifat individu, tanpa perlu ada kaitan dengan masyarakat. Namun demikian, berbeza dengan Tarikat Syatariyah yang mengikuti fahaman mazhab al-Syafi’ei, dengan mengamalkan ajaran-ajaran mistiknya penuh dengan dalil-dalil al-Qur’an, serta menekankan kepatuhan kepada syariah, sekalipun pada masa yang sama ia juga mempertahankan kaitan-kaitan dengan pengasas doktrinnya seperti Ibn al-‘Arabi. Kaya-karya lain berkaitan dengan perkara tersebut yang ditulis oleh beliau ialah:  Bayān al-Tajallī, Daqāiq al-Hurūf, ‘Umdat al-Muhtajīn dan Muzat al-Badi.

Seterusnya,Kifāyat al-Muhtajīn. Melalui karya ini dan tiga lagi karyanya di atas, adalah merupakan kitab-kitab yang membicarakan tentang ciriciri utama ajaran tasawuf dan asas-asas pendiriannya. Dalam kitab: Daqāiq al-Hurūf mengandungi penjelasan sufistik mengenai simbolik huruf dan angka. Dengan karya ini menurut Anni Marie Schimmel. Abdul Rauf Singkel telah berjaya menyajikan satu pendedahan dan penjelasan mengenai sufisme secara bijak dan berhikmah. Begitu juga dengan karyanya: Kitāb al-Farāid, Majmū’ al-Masā’il. Manakala kitab: Mawāiz al-Badi’ah adalah merupakan kitab terjemahan yang mengandungi 32 H:adīth al-Qudsī.

Ketiga,Mir’at al-Tullāb iaitu sebuah kitab yang merupakan pengantar ilmu fiqh mengikutmazhab al-Syafi’ei. Mengenai isi kandungannya hampir sama sahaja dengan karya Nuruddin al-Raniri yang berjudul: Sirat al-Mustaqim, bezanya hanya terletak pada bentuk kupasannya. Sekiranya karya Nuruddin al-Raniri mengupas tentang ibadah-ibadah sahaja, sedangkan karya Syeikh Abdul Rauf Singkel mengupas tentang ibadah dan ditambah juga dengan masalah muamalat. Antara masalah-masalah mu’amalat yang dikupas ialah tentang hukum jual beli, riba, khiyār, sharikah, qirād:, sulh:, h:iwālah, dGaman, wakalah, iqrār, musāqah, lāqit dan lain-lain.


BIODATA SYAMSUDDIN AL-SUMATRANI
Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani merupakan anak murid kepada Syeikh Hamzah Al Fansuri. Beliau merupakan seorang ahli sufi yang terkemuka di Nusantara. Di hujung namanya tertulis ‘as-Sumatra-i’. Pada semua manuskrip karyanya juga tertulis demikian namun semua penulis bahkan penulis yang pertama mengubahnya menjadi al-Sumatrani yang membawa maksud beliau berasal dari Sumatera Indonesia. Sebenarnya tambahan huruf ‘n’ antara huruf ‘a’ dan ‘i’ yang telah dilatinkan itu hanyalah salah penyemakan sahaja dari huruf hamzah yang ditulis sebelum huruf ya. Huruf ya yang diletakkan di belakang perkataan Sumatera itu menurut kaedah bahasa Arab ialah ya nisbah ertinya dibangsakan.
Syamsuddin al-Sumaterani ialah seorang ulama, penulis dan ahli tasawuf Indonesia. Nama sebenarnya ialah Syeikh Syamsuddin bin Abdullah as-Sumaterani. Beliau juga dikenali sebagai Syamsuddin Pasai. Menurut para sejarawan, penisbahan namanya dengan sebutan Sumaterani ataupun Pasai menjelaskan adanya dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, orang tuanya adalah orang Pasai (Sumatera). Dengan demikian maka dapat dikatakan bahawa beliau dilahirkan dan dibesarkan di Pasai. Kemungkinan yang kedua pula ialah ulama terkemuka pada zamannya ini telah lama bermukim di Pasai. Beliau ialah pengikut mazhab Shafie dan membawa ajaran tasawuf Hamzah Fansuri. Shamsuddin juga tergolong sebagai ahli sufi yang mengamalkan ajaran Wahdatul Wujud atau Wahdat-al-Wujud.
Meskipun Syamsuddin lebih dikenali berbanding daripada gurunya, tetapi tarikh lahir dan pendidikan awalnya masih tidak jelas. Menurut Ahmad Jelani Halimi (2008), dalam sebuah tulisan, Syamsuddin menyebut nama seorang syeikh iaitu Muhammad bin Fadl Allah dari Burhanapur. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa Syamsuddin pernah menuntut ilmu di India.
Seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin banyak menulis untuk menyampaikan ilmunya berkaitan wujudiah. Namun, kebanyakan kitab tulisannya dan Hamzah Fansuri telah dibakar. Kitab-kitab yang diketahui hasil tulisan Shamsuddin ialah seperti berikut Miratul Mukminin (Cermin Perbandingan Bagi Orang-orang Mukmin),Jauhar Haqaaiq (Permata Kebenaran), Risalatul Baijin Mulahadhatil Muwahhiddin Alal Mulhidi fi Zikrillah (Tinjauan Ahli-ahli Tauhid Terhadap Orang-orang Yang Sesat Mengingati Allah). Selain itu, beliau juga ada menghasilkan Kitabul Harakah (Mengenai Ilmu Bahasa),  Nurul Daqaaiq (Cahaya yang Murni), Miratul Iman (Cermin Keimanan) dan banyak lagi kitab-kitab yang ditulis oleh beliau.
Sebagai pendukung tarekat Wujudiyah, ajaran Syamsuddin berkisar kepada keesaan makhluk dengan Tuhan. Hal ini terbukti apabila banyak dalih yang diberinya bergantung kepada Hadith Kudsi yang diinterpretasikan mengikut pandangan mistik. Syamsuddin Sumaterani adalah salah seorang daripada empat ulama yang paling terkemuka di Acheh. 3 orang ulama yang lain ialah Hamzah Fansuri, Nuruddin al- Raniri dan Abdul Rauf Singkel.
 Perihal keintiman hubungannya dengan Nuruddin ar-Raniri, tidak diketahui secara pasti. Yang jelas adalah tujuh tahun setelah Syamsuddin Sumaterani wafat, Raniri memperoleh kedudukan seperti sebelumnya yang diperoleh Syamsuddin Sumaterani. Beliau diangkat menjadi mufti Kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1637 oleh Sultan Iskandar Tsani. Disebabkan fatwanya yang mengkafirkan fahaman wahdatul wujud Syamsuddin Sumaterani, maka para pengikut Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumatrani dihukum oleh pihak penguasa dengan hukuman bunuh. Namun demikian, para pengikut fahaman Sumaterani itu ternyata tidak punah semuanya sebaliknya menjadi semakin teguh dan tersebar dalam kalangan rakyat.
 Pada sekitar tahun 1644 Raniri disingkirkan dari kedudukannya selaku mufti kerajaan Aceh Darussalam. Beliau pun terpaksa pulang ke Ranir, Gujarat. Sebagai penggantinya, Sultanah Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675) kemudian mengamanahkan jabatan mufti kerajaan kepada Saifur Rijal. Saifur Rijal ialah seorang Minang yang juga penganut fahaman wahdatul wujud telah kembali ke Aceh selepas mendalami bidang agama di India. Dengan demikian, fahaman tasawuf Syamsuddin Sumaterani itu kembali mewarnai corak keislaman di Kerajaan Aceh Darussalam.










No comments:

Post a Comment