SLMT DTG

~ SELAMAT DATANG KE BLOG KARYA AGUNG MELAYU :)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Blog ini adalah salah satu tugasan kursus BMS 3022 Karya Agung Melayu (2016) kumpulan 2

Novel Salina






 1.0 PENGENALAN
Novel Salina ini merupakan hasil karya A.Samad Said. Beliau yang juga merupakan seorang penulis yang terkenal dengan karyanya yang mempunyai nilai yang tinggi. Novel Salina yang dihasilkan oleh beliau merupakan sebuah karya yang memiliki mutu penciptaan antarabangsa. Secara keseluruhannya, novel ini sebenarnya mengisahkan tentang keadaan atau kehidupan masyarakat selepas perang dunia kedua.
Masyarakat yang terlibat ialah masyarakat yang menetap di Singapura iaitu di sebuah perkampungan kecil yang bernama Kampung Kambing. Penulis juga turut mengarap pelbagai watak serta perwatakan bertujuan supaya penceritaan yang cuba disampaikan olehnya lebih berkesan dan difahami oleh para pembaca. Antara watak utamanya ialah Salina dan turut dibantu oleh watak-watak sampingan yang lain. Penulis turut menggunakan pelbagai teknik penulisan bagi menambah lagi daya tarikan terhadap novel tersebut.
            Oleh itu, demikianlah novel Salina dikatakan sebagai satu petunjuk terbaru dalam penghasilan novel-novel moden yang lebih berkualiti dan mempunyai nilai estetiknya yang tersendiri.

2.0   SINOPSIS
Novel ini berlatar belakangkan sebuah kampung yang diberi nama Kampung Kambing. Antara penghuninya yang tinggal di kampung ini ialah Siti Salina dan kekasihnya Abdul Fakar, Hilmy dan ibunya, Kadijah, Zarina, seorang janda serta anak tirinya iaitu Nadihah, Mansur dan Sunarto, anak yang dipungut oleh arwah bapa Nadihah, serta Haji Karman. Latar tempat dalam novel ini ialah di Singapura. Tempat ini digelar Kampung Kambing kerana penduduk di kampung ini tinggal di kandang kambing yang disewakan oleh seorang lelaki india yang bernama Kurupaya. Salina adalah seorang pelacur yang menyara dan memelihara Abdul Fakar yang malas bekerja dan sering meminta duit daripada Salina untuk pergi berjoget dan minum arak.
Abdul Fakar seorang yang suka mabuk, gila perempuan dan suka memukul Salina. Walaupun di pukul, Salina tetap menyayangi Abdul Fakar kerana wajah Abdul Fakar seiras dengan wajah arwah kekasihnya yang mati dalam peperangan iaitu Muhammad Yusuf. Salina asalnya adalah anak orang kaya. Walau bagaimanapun, selepas berlakunya perang dan keluarganya terkorban, dia terpaksa menjadi pelacur untuk menyara kehidupan seharian. Hilmy, seorang remaja yang masih bersekolah sering mendapat bantuan kewangan daripada Salina untuk membeli buku dan ubat untuk ibunya yang sering sakit. Bantuan ini dilakukan tanpa pengetahuan Abdul Fakar. Ibu Hilmy, Kadijah, banyak menasihati Salina supaya menyimpan wang untuk masa depan kerana Abdul Fakar tidak boleh diharapkan.
Kisah dalam novel ini juga banyak menyentuh tentang Nadihah yang dipaksa oleh ibu tirinya untuk menjadi pelayan tanpa kemahuannya. Ini disebabkan Sunarto gagal memberikan wang perbelanjaan yang cukup kepada Zarina. Walaupun Sunarto sering dihalau di hadapan penduduk kampung berkali-kali, Sunarto enggan keluar daripada rumah kerana dia tidak mahu meninggalkan Nadihah yang sering di usik oleh Abdul Fakar. Abdul Fakar pernah membuat perkara sumbang terhadap Nadihah. Namun, Salina tidak mengetahuinya, begitu juga dengan Zarina, ibu tiri Nadihah. Hilmy kemudiannya jatuh cinta terhadap Nadihah semasa dia mengikuti kursus latihan tentera. Mereka jatuh cinta apabila sering berbalas surat. Hilmy meminta Nadihah membacakan surat untuk ibunya kerana ibu Hilmy buta huruf.
Persahabatan antara Nadihah dan Hilmy tidak di ketahui oleh sesiapa. Dalam masa yang sama, Abdul Fakar sering mengapi-apikan Zarina supaya menghalau Sunarto keluar rumah. Dengan itu, dia lebih mudah merapati Nadihah. Sunarto ialah satu-satunya batu penghalang kepada niat buruk Abdul Fakar terhadap Nadihah. Zarina yang termakan fitnah Abdul Fakar sering menghalau Sunarto dan Mansur. Zarina menghalau Mansor, abang Nadihah kerana dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan walaupun puas mencari. Akhirnya, Mansur lari dan memasuki tentera. Tinggallah Nadihah. Satu malam, Nadihah telah di culik oleh Abdul Fakar atas arahan Cik Salim, seorang lelaki yang gilakan Nadihah. Sebelum ini Nadihah telah banyak kali menolak permintaan Cik Salam untuk duduk di pangkuannya dan melayan dia.
Nadihah mabuk pada suatu hari dan telah di nodai. Dia lari meninggalkan Singapura dan tidak berapa lama kemudian berkahwin dengan seorang buruh. Hilmy sedih kerana kehilangan Nadihah. Salina pula melarikan diri ke Kelantan untuk melupakan Abdul Fakar kerana Abdul Fakar telah menghalaunya keluar dari rumah sedangkan rumah itu adalah rumah Salina. Abdul Fakar gilakan seorang perempuan joget. Ibu Hilmy meninggal dunia akibat sakit. Hilmy pula tidak menyambung pelajaran kerana ketiadaan wang . Tidak lama kemudian, Hilmy cuba menjejaki Salina di Kuala Lumpur tapi diberitahu oleh Mansur yang Salina sudah pulang ke Singapura.
Abdul Fakar belayar kembali kerana dia gagal mencari Salina. Dia baru mengetahui bahawa Salina betul-betul sayangkan dia setelah di tipu oleh perempuan joget. Hilmy kembali ke Singapura untuk bertemu Salina.

3.0  PEMIKIRAN DALAM NOVEL SALINA
Mohd Rashid Md. Idris et al. (2016: 69), mendefinisikan pemikiran sebagai subjek yang dibawakan oleh pengarang. Bermula daripada idea dan pengalaman dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk dijelmakan menjadi persoalan dan tema karya. Tambahnya lagi, daripada situlah ia dikembangkan untuk menyampaikan mesej dan tujuan yang membentuk pemikiran dan idealisme pengarang.
Dalam bidang sastera pula, pemikiran ini selalunya dimulakan dengan idea yang diperoleh oleh pengarang yang kemudiannya diolah oleh pengarang sehingga menjadi sebuah karya atau buah fikiran yang bernas. Selain itu, pemikiran juga dapat dikaitkan dengan mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dalam sesebuah karya. Pemikiran dalam Novel Salina  ini telah diskopkan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil yang merangkumi pemikiran kesempitan hidup dalam meneruskan kehidupan akibat tragedi Perang Dunia Kedua, eksploitasi golongan kaya terhadap golongan miskin, kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus manusia terhadap kebahagiaan duniawi dan sikap tolong-menolong serta saling membantu bagi golongan yang memerlukan.

3.1   Kesempitan hidup dalam meneruskan kehidupan semasa tragedi Perang Dunia 
 Kedua.
Peperangan yang berlaku antara Jepun dan Singapura meninggalkan kesan yang mendalam bagi masyarakat Singapura apabila akhirnya Singapura telah jatuh ke tangan Jepun. Kesannya,  rakyat Singapura hidup dalam kesusahan serta kesempitan apabila harta benda serta segala kekayaan yang mereka peroleh telah musnah akibat peperangan yang terjadi.
            Berdasarkan novel Salina yang ditulis oleh A.Samad Said, pengarang jelas menunjukkan atau menggambarkan kedaifan hidup rakyat Singapura ketika itu yang kehilangan segala harta benda mereka dan hanya tinggal sehelai sepinggang dan mencari rumah untuk berteduh kerana turut kehilangannya sewaktu tragedi tersebut. Hal ini digambarkan oleh pengarang novel Salina dala teks berikut:
 “Sebanyak lima puluh ringgit telah didahulukan sebagai wang kopi masuk ke rumah itu dan setelah berjanji bersedia membayar dua puluh ringgit setiap bulan dengan waktu pembayarannya ditetapkan, maka baharullah bilik yang beratapkan zing-zing tong minyak, daun rumbia dan kulit-kulit kayu balak dengan berlapiskan tikar-tikar getah yang buruk dan di atasnya pula merayap-rayap liar daun-daun labu yang segar, berdindingkan kayu-kayu, peti susu,zing-zing tong minyak, kulit-kulit balak, kadbod-kadbod serta berlantaikan tanah itu menjadi hak milik sewaannya, tempat mereka berlindung daripada panas dan hujan.”

 (Salina, 1980: 2)

3.2 Penindasan golongan kaya terhadap golongan miskin.
Berdasarkan novel Salina golongan atasan atau golongan kaya dilihat cuba menindas golongan bawahan atau golongan miskin ini ekoran Perang Dunia Kedua yang berlaku tersebut. Penindasan ini berlaku disebabkan sikap penting diri atau tamak serta ingin hidup dalam kesenangan yang mahu dikecapi oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab tersebut.

“Ohooo,” kata Benggali jaga itu:suaranya besar dan penuh kahak ditekaknya.
“Berapa itu bilik punya sewa sekarang? Apa sudah naik lagikah?”
“Ya. Sekarang lagi sikit naik. Dulu Paliamah lima orang tinggal, dia punya sewa lapan belas ringgit. Tapi sekarang saya dengan KurupayaSamy kasi naik lagi. Sekarang dua puluh ringgit satu bulan,” kata pekedai India itu sambil menggeleng-gelengkan kepala dan menggosok-gosokkan tapak tangan seperti selalu dibuatnya bila bercakap.
“ Alamak, ini Kurupaya banyak cilaka. Sudah banyak wang, sekarang mahu banyak wang lagi,” kata Benggali jaga itu meludah-ludah sambil pergi duduk pula dijurinya.
“Berapa itu orang tua kasi wang kopi?”
“Lima Puluh ringgit,” kata pekedai India kurus panjang itu sambil masuk semula ke dalam kedainya untuk melayan pembeli lain. Selepas itu dia keluar semula lalu berkata:
“Sekarang lima puluh ringgit orang tak ada kira; orang bayar. Rumah banyak susah mahu dapat. Seratus ringgit pun orang bayar.”
“Ya, ya itu betul. Tapi gasak orang miskin punya wang banyak-banyak tak ada baiklah!” kata Benggali jaga itu.
                                                                                                                                        (Salina, 1980: 3)

3.3  Kepincangan keluarga.
Dalam novel Salina, pengarang menunjukkan aspek kepincangan keluarga akibat daripada sikap rakus atau tamak manusia terhadap kebahagiaan duniawi. Berikut merupakan antara teks yang menggambarkan kepincangan keluarga akibat sikap rakus serta tamak manusia terhadap kebahagiaan duniawi.

“Bergaduh dengan siapa?”
“Gaduh dengan Narto. Narto bawa wang sikit dah dua tiga hari ni. Emak marah. Dia mahukan duit lebih banyak lagi. Kata narto beca dah susah nak dapat sewa sekarang ni. Tak macam dulu, beca sikit. Katanya sekarang teksi dah mula banyak. Orang lebih suka naik teksi. Sebab itulah susah nak dapat sewa banyak,” Nadihah menerangkan.
                                                                                                                                    (Salina, 1980: 18)

            Berdasarkan teks di atas, dapat dilihat bahawa Zarina iaitu ibu angkat kepada Narto sanggup memarahi serta bergaduh dengan Narto hanya kerana Narto tidak memberikan wang yang banyak kepadanya. Zarina juga sanggup memaki hamun dan menghalau Narto meskipun dia telah lama menjaga Narto. Kepincangan keluarga ini bukan sahaja disebabkan oleh kekurangan wang untuk meneruskan kehidupan. Malah, Zarina juga telah dihasut oleh Fakar, lelaki yang meminati anak perempuannya iaitu Nahidah dan merasakan bahawa Narto merupakan batu penghalang kepadanya untuk mendapatkan Nahidah. Oleh yang demikian, Fakar telah membina rancangan untuk menghasut Zarina untuk membuang Harto daripada keluarganya agar rancangannya dapat dijalankan dengan mudah. Disebabkan oleh ikatan kekeluargaan yang tidak kuat dan utuh menyebabkan Zarina termakan pujuk rayu dan hasutan Fakar sehinggakan Narto dihalaunya daripada rumah tersebut. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa hanya disebabkan tuntukan duniawi, seseorang itu sanggup memecahbelahkan keluarganya sendiri.

3.4    Sikap tolong- menolong dan saling membantu terhadap golongan yang memerlukan.
Hal ini dapat dilihat menerusi watak Siti Salina. Walaupun, Salina seorang pelacur tetapi dia masih mempunyai sifat baik hati apabila dia membantu Hilmy anak jirannya dengan membiayai pelajarannya dan bukunya hanya untuk melihat Hilmy berjaya memandangkan nasib yang dialami oleh Hilmy sama sepertinya. Hilmy telah dianggap oleh Salina seperti adiknya. Jelaslah disini bahawa dalam novel Salina ini pengarang turut menggambarkan sikap tolong-menolong dan saling membantu dalam sesebuah masyarakat tersebut. Berikut merupakan petikan teks berkaitan:

“ Hilmy jangan susah,” kata Siti Salina menyambung terus, “kakak akan tolong Hilmy. Kalau ada apa-apa kesusahan tentang duit buku seumpamanya, cakaplah kepada kakak. Kakak tahu sekolah orang putih banyak pakai buku dan banyak pakai duit. Cakaplah pada kakak bila sahaja Hilmy perlukan wang sekolah. Kalau kakak ada duit, kakak beri, kalau kakak tak ada kakak tolong carikan,” suara Siti Salina begitu bersungguh-sungguh. Dan Siti Salina juga merasakan bahawa dia tidak berkata-kata kepada orang lain, tetapi kepada adiknya sendiri, adik yang ingin diberinya sebanyak-banyak pelajaran, satu keinginan yang selalu dirasakannya akhir-akhir ini.
                                                                                                                                    (Salina, 1980: 84)

Tuntasnya, dalam sesebuah novel kebiasaannya penulis atau pengarang telah mempunyai idea atau pemikiran yang tertentu yang ingin disampaikan kepada pembaca. Melalui pemikiran tersebut sudah pasti pengarang mempunyai tujuannya yang tertentu dan mengharapkan pula penerimaannya adalah berkesan kepada pembaca.

4.0 ESTETIKA DAN KEPENGARANGAN
4.1 SENI BAHASA
Estetik berkait rapat dengan persoalan keindahan yang membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membacanya. Menurut Nik Hassan Basri (2007), gaya bahasa ialah cara atau ragam bahasa yang digunakan dalam penulisan atau lisan ataupun cara pemakaian bahasa dalam sesebuah karya atau susunan kata, frasa dan ayat yang digunakan oleh pengarang dalam usaha melengkapkan tema dan persoalan dan sebagainya dalam karya yang dihasilkan.

4.1.1 Gaya Bahasa Perbandingan
4.1.1.1 Personafikasi
Personafikasi ialah sejenis gaya bahasa perbandingan, iaitu penginsanan atau pemberian ciri-ciri peribadi orang atau sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang yang tidak bernyawa, atau idea yang abstrak. Contoh :

Suara budak-budak menjerit riuh itu kedengaran semula.
Juga suara enjin kilang menggergaji balak yang sedang ‘bernyawa’,
suara wap berhembus dari kilang…                          
                                                                                                 (Salina : 33)

4.1.1.2 Simile
Simile ialah perumpamaan. Simile merupakan perbandingan terus iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita mengganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelas mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan kata “seperti”, “laksana”, “bagai”, “umpama”, “bak”, “sebagai”, “peneka”, “serupa”, dan macam-macam lagi. Contoh :

Dan soal mengapa seorang yang sesihat dan segar Abdul Fakar                              sanggup merelakan dirinya menjadi seperti anjing menanti belas kasihan tuannya sahaja berpusar-pusar juga di kepalanya.
                     (Salina : 194)
4.1.2 Gaya Bahasa Pengulangan
4.1.2.1 Anafora
Sejenis gaya bahasa pengulangan, iaitu pengulangan perkataan pertama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berketurunan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif atau bukan kreatif (Nik Hassan Basri,2007). Contoh :

Dia diam pula kerana disedarinya bahawa Hilmy tidak
mendengarkannya sepenuhnya, mungkin tidak semuanya.
Dia melanjutkan dengan suara yang semakin ditinggikan:
suara meninta…
                                                                                                (Salina : 35)

4.1.3 Gaya Bahasa Pertentangan
4.1.3.1 Hiperbola
Hiperbola yang merupakan salah satu daripada kelompok gaya bahasa pertentangan sejenis gaya bahasa yang mengandungi kenyataan tentang sesuatu perkara secara berlebih-lebihan atau secara melampau waima daripada segi jumlahnya, ukuran atau sifatnya. Tujuan yang demikian itu adalah untuk memberi penekanan maksud terhadap sesuatu perkara atau situasi demi memperhebat, meningkatkan kesan dan pengaruhnya. Hiperbola ialah penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan atau kesan memperhebat (Corbett dan Connors, 1999). Menurut Lanham (1968), hiperbola atau superlatio bermaksud menyatakan sesuatu dengan cara berlebih-lebihan. Anton Moeliono (1989) berpendapat hiperbola sebagai ungkapan yang melebih-lebihkan sama ada dari segi jumlahnya, ukurannya atau sifatnya. Contoh :

“Dan dia ketawa terbahak-bahak. Budak-budak muda yang sedang
bercerita itu segera ketawa juga-ketawa memanjang-manjang.
Seorang daripada mereka yang berambut panjang seperti sudah
            tiga bulan tidak digunting.


4.1.4 Gaya Bahasa Penyirnaan
4.1.4.1 Sinkof
Sinkof atau sinkop ialah sejenis gaya bahasa penyirnaan, iaitu pengguguran huruf sisip atau suku kata perkataan dengan menghilangkan huruf tengah atau suku kata tengah bagi perkataan, atau pewujudan kata singkat atau ringkas, iaitu kata yang terhasil akibat penghilangan huruf atau suku kata. Contoh gaya bahasa sinkof dalam novel ‘Salina’ ini ialah :
‘’Kaufikir kau mau mengcekik saja ya?’’suara Zarina
 semakin mengancam didengarnya.

4.1.5 Gaya Bahasa Pertautan
4.1.5.1 Disfenisme
Disfemisme ialah kebalikan daripada eufemisme. Disfemisme memilih bentuk kata atau ragam bahasa daripada yang lembut kepada yang kasar. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu lama kata-kata kasar selalunya bertujuan untuk bergurau dan berjenaka. Ungkapan disfemisme banyak terdapat dalam pantun jenaka. Disfemisme turut digunakan dalam bahasa daerah. Contoh :
                   ‘’Hei Bulat! Pergi pakai seluar lekas. Suruh mak pakaikan seluar.
                      Kalau tak, heh, kakak potong kotek kau!’. Kata Salina...
                                                                                                                        (Salina : 41)

                   ‘’Narto tak ada kat rumah? Tanya Abdul Fakar kepada Nahidah.
                   ‘’Tak ada’’.jawab Nahidah jujur.
                   ‘’Sudah mampuskah?’’ tanya Abdul Fakar lagi; hatinya panas.
                                                                                                                        (Salina : 220)  




4.1.6 Gaya Bahasa Pengguguran
4.1.6.1 Polisidenton
Polisidenton ialah penggunaan kata hubung yang banyak dalam sesuatu ayat.  Dalam novel Salina, terdapat juga penggunaan gaya bahasa ini seperti yang dapat dilihat dalam contoh ayat yang berikut:
Di sana sini lecak sahaja, dan di tanah banyak air yang tertakung-bertakung
                   di tanah yang lekak-lekuk dan di beberapa buah tin dan botol yang
                   terselit-selit di celah pokok pisang.                                                   (Salina: 25)


4.1.7 Hiperbaton
4.1.7.1 Anastrop
Corbett dan Connors (1999) menjelaskan bahawa anastrop adalah susunan kata yang lazim. Fungsi utamanya ialah untuk memberikan penekanan. Takrifan anastrop menurut Umar Junus (1989) merujuk kepada pembalikkan susunan ayat dengan tujuan supaya frasa yang diletakkan pada awal lebih penting daripada frasa yang di belakang. Contoh :

...daunnya yang hijau kekuningan yang sebelum itu digigit-gigit
kambing Kurupaya Samy dan dicakar-cakar oleh tiga ekor anak
kucing Siti Salina itu, semakin koyak-koyak  kerana ditiup angin kuat
selamanya.

4.2  KEPENGARANGAN
 Manakala kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya (Mohd. Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah & Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, 2014: 96).  Dalam sesebuah karya, nilai estetik dan kepengarangan merupakan dua aspek penting yang boleh mempengaruhi kedudukan teks tersebut. Terdapat beberapa teknik kepengarangan  A. Samad Said dalam novel Salina, antaranya ialah:

4.2.1  Berbentuk autobiografi
Karya bentuk autobiografi biasanya ditulis oleh tokohnya sendiri tentang peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku.  Novel Salina berbentuk autobiografi kerana pengarang sendiri yang mengarangnya.  Novel ini membuka dan membongkar keperitan hidup masyarakat Melayu di sebuah perkampungan kecil di Singapura akibat Perang Dunia Kedua.
                   Novel ini ditulis berdasarkan kesan pengalaman hidup yang musnah dalam peperangan, iaitu pengalaman langsung pengarang sebagai mangsa perang ketika itu.  Kesengsaraan akibat perang telah mengalirkan bakat dan kebolehannya untuk melukiskan semula pengalaman itu dalam bentuk kreatif.  Selain itu, nama-nama tempat yang dinyatakan dalam Salina juga benar-benar wujud seperti Kampung Kambing dan Sekolah Melayu Kota Raja dan Victoria Institution.  Pengarang pernah mendapat pendidikan formal di kedua-dua sekolah tersebut.

4.2.2  Kepelbagaian teknik penulisan Salina
Dalam novel Salina, pengarang banyak menggunakan teknik dialog, teknik monolog dalaman dan teknik imbas kembali.  Peristiwa-peristiwa dalam novel dikisahkan dengan baik menggunakan teknik-teknik tersebut.
4.2.2.1  Teknik dialog
Teknik dialog digunakan untuk menjadikan sesuatu cerita lebih menarik.  Pada kebiasaannya, teknik pemerihalan atau penceritaan paling banyak digunakan dalam karya penulisan.  Walau bagaimanapun, kekerapan penggunaan teknik ini boleh menyebabkan pembaca berasa bosan.  Oleh itu, pengarang novel Salina, A. Samad Said memasukkan teknik dialog untuk menjadikan cerita lebih hidup dan dekat dengan pembaca.  Teknik ini dapat menarik perhatian pembaca. Contoh petikan dialog:
                  
                   ‘’Narto tak ada kat rumah? Tanya Abdul Fakar kepada Nahidah.
                   ‘’Tak ada’’.jawab Nahidah jujur.
                   ‘’Sudah mampuskah?’’ tanya Abdul Fakar lagi; hatinya panas.
                                                                                                                 (Salina : 220)                                                                                                              
4.2.2.2  Teknik monolog dalaman
Pengarang juga menggunakan teknik monolog dalaman dalam Salina untuk menampakkan peribadi dan konflik sesuatu watak secara jelas. Teknik yang menonjolkan watak-watak berkata-kata dalam hati tanpa sebarang ucapan. Semua perasaan atau kata yang tersirat di hati watak-watak itu dipaparkan oleh penulis atau pengarangnya (Nik Hassan Basri, 2007).  Contoh:
                   Zarina berkata di dalam hatinya sungguh-sungguh.                                                       “Ya, laki-laki tentu akan tergila-gilakan Nahidah!”.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           (Salina: 252)
                   Petikan di atas menunjukkan monolog dalaman Zarina yang memikirkan rancangan yang tidak elok untuk anak tirinya, Nahidah.  Di sini boleh terlihat peribadi Zarina yang tidak baik.

5.0  FALSAFAH DALAM NOVEL SALINA
Istilah falsafah berasal daripada bahasa Yunani “philien” dan “sophia”. “Philien” bermaksud mencintai atau sahabat dan “Sophia” adalah kebijaksanaan” atau pengetahuan. Menurut Robert Zeuscher, ahli-ahli falsafah merupakan orang yang mencintai kebijaksanaan dan mempunyai minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan.
            Plato mengatakan bahawa falsafah merupakan ilmu yang ada atau wujud, manakala Aristotle pula mengatakan bahawa falsafah adalah kebijaksanaan atau hikmah atau ilmu pengetahuan yang menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Mekanisme falsafah secara mudahnya dapat dimaksudkan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam. Oleh itu, falsafah ialah membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapat jawapan yang benar dan real terhadap sesuatu perkara.
Antara bidang falsafah yang diberi penekanan ialah etika, metafizik, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik. Dapat disimpulkan bahawa falsafah ialah suatu kesenian berfikir yang waras, bernas dan mendalam. Karya sastera yang dihasilkan yang membincangkan sesuatu subjek biasanya akan membincangkan sesuatu itu secara artistik dan estetik, maka di situlah tersimpannya mutiara falsafahnya (Mana Sikana, 1996). Dalam novel Salina, terdapat beberapa unsur falsafah yang dikaji. Antaranya:

5.1 Falsafah sosial
Menurut Seri Lanang (2016), falsafah sosial merupakan gambaran kehidupan sebenar yang berlaku dalam masyarakat. Ini bermaksud pengarang telah menjadikan kejadian yang benar-benar berlaku dalam kalangan masyarakat sebagai penceritaan dalam sesebuah karya.
Dalam novel Salina, pengarang iaitu A. Samad Said telah mengetengahkan banyak  falsafah sosial. Hal ini demikian kerana, beliau telah mengambil realiti kehidupan masyarakat pada zaman tersebut sebagai batu loncatan bagi membina tema dan persoalan novel ini. Menurut Shahnin Ahmad (1994:82), terdapat banyak watak dan perkaitan antara mereka yang melahirkan peristiwa dan episod yang pelbagai yang mengembangkan pula persoalan dengan persoalan dan watak dan perwatakan.
Novel Salina memaparkan gambaran sebenar golongan masyarakat yang menjadi mangsa perang dunia kedua sehingga membawa kesengsaraan kepada mereka dan ada segelintir masyarakat yang terlibat dengan kehidupan yang tidak sihat. Novel Salina ini merupakan karya yang bersifat komited dan kontekstual, yang melihat hubungan-hubungan dengan masyarakatnya. Salina adalah cerminan masyarakat dan bersifat mimetik sastera iaitu karya seni yang merupakan tiruan atau salinan semula daripada dunia sebenar. Hal ini berlaku apabila pengarang iaitu A.Samad Said mengambarkan keadaan sebenar yang berlaku terhadapnya semasa perang dunia kedua melalui novel Salina
            Falsafah sosial dapat dilihat melalui kehidupan masyarakat yang menetap di Kampung Kambing selepas perang dunia kedua. Masyarakat pada zaman tersebut telah menjadi mangsa perang dunia kedua sehingga membawa kesengsaraan dan kemiskinan kepada mereka. Penduduk di Kampung Kambing sangat daif sehinggakan keperluan air perlu dicuri-curi ambil dari berek pejabat kerajaan yang terletak berdepan dengan kampung tersebut. Rumah-rumah mereka pula sebenarnya kandang kambing yang telah diubah suai sebagai rumah setinggan. Ia deretan bilik yang disewa oleh tuan kandang kambing tersebut. Penghuni-penghuni hilang kaum keluarga, kerja dan tempat bergantung.  Antara petikan yang mengambar falsafah sosial dalam novel Salina adalah seperti berikut:

 rumah-rumah kambing itu semuanya tidak sempurna. Dindingnya terbuat dari papan-papan peti susu yang buruk da berbulu-bulu, kulit-kulit kayu balak berkarat yang sudah dileperkan (tetapi masih kemik di sana-sini) dan kadbod-kadbod yang sudah berbulu dan berbelang-belang oleh resapan air hujan,”

Melalui contoh falsafah sosial dalam novel Salina, dapat disimpulkan bahawa masyarakat pada masa tersebut mempunyai sikap yang tabah. Mereka sangat tabah dalam mengharungi liku-liku kehidupan selepas perang dunia kedua. Kemewahan, kesenangan dan tempat tinggal mereka musnah dengan sekelip mata akibat daripada peperangan yang berlaku. Sikap tabah yang ditunjukkan melalui novel Salina ini haruslah dicontohi kerana walaupun telah kehilangan harta benta, mereka tetap meneruskan kehidupan.

5.2  Falsafah Etika
Menurut Seri Lanang (2016), etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Kajian etika lebih memfokuskan kepada prilaku, norma dan adat istiadat manusia. Etika dalam buku Etika Dasar yang ditulis oleh Franz Magnis Suseno membawa maksud pemikiran kritis, sistematik dan mendasar tentang ajaran-ajaran dan pandangan-pandangan moral. Tujuan dari etika adalah supaya manusia mengetahui dan mampu mempertanggungjawabkan apa yang ia lakukan.
Dalam novel Salina, falsafah etika dapat dilihat melalui ilmu pengetahuan yang masih menjadi keutamaan dalam masyarakatnya.Ini dapat dilihat melalui watak Khatijah yang mengalami kemusnahan hidup setelah Perang Dunia Kedua. Dia masih mampu menyekolahkan Hilmy, malah Hilmy dapat dilihat sebagai pelajar yang pandai kerana mampu bersekolah di sekolah Melayu Kota Raja dan berpindah ke sekolah Inggeris Monk’s Hill dan Victoria School secara percuma. Petikan yang menunjukkan falsafah etika dalam novel Salina adalah:

Memang dari sekolah Melayu dulunya, sesudah sekolah Melayu barulah dihantar ke sekolah Inggeris. Kalau hendak dihantar ke sekolah Inggeris terus saja siapa yang mampu? Ayahnya bukan ada. Untunglah dapat sekolah free, jawab Katijah menerangkan.
             (Salina, 1961:10)

Contoh falsafah etika di atas menunjukkan sikap tidak berputus asa yang diamalkan oleh watak Hilmy. Walaupun hidup dalam kesempitan, dia masih meneruskan pembelajaran dengan bantuan ibunya iaitu Khatijah. Sikap Khatijah yang sanggup bekorban untuk menyekolahkan Hilmy haruslah dicontohi. Kehidupan mereka yang berubah selepas perang dunia kedua itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus menimba ilmu.
Seterusnya, falsafah etika dapat ditunjukkan melalui peranan kaun wanita sebagai pelayan. Pekerjaan sebagai pelayan dalam kalangan golongan wanita begitu dominan pada zaman perang. Melalui novel Salina ini, memperlihatkan watak wanita yang bekerja sebagai seorang pelayan iaitu Zarina dan Nahdah. Zarina merupakan ibu tiri kepada Nadihah dan bekerja sebagai seorang pelayan untuk menyara hidupnya. Contoh ertikan yang terdapat dalam novel Salina adalah seperti berikut:

“Mak dah pun carika kerja untuk kau,” kata Zarina mendekat ke maksud utamanya. “Kerja tu dah pun mak dapatkan Cuma tunggu jawapan dari kau saja. Mak harap benar kau mahu bekerja.”
             (Salina,1961:162)

Melalui contoh falsafah etika di atas menunjukkan sikap sanggup berkorban untuk meneruskan kehidupan. Ia ditunjukkan melalui watak wanita pada zaman tersebut terutamanya Salina, Zarina dan Nadihah. Kehidupan mereka pada zaman tersebut sangat susah dan mereka terpaksa untuk menjadi  pelacur untuk menyara diri dan keluarga.



5.3  Falsafah Metafizik
Menurut Seri Lanang (2016), falsafah metafizik memikirkan tentang kewujudan dan keberadaan. Falsafah metafizik lebih memfokuskan kepada keislaman.
Dalam novel Salina, falsafah metafizik boleh ditunjukkan melalui watak Haji Karman. Haji Karman selalu menjadi penghuni surau sendiri. Beliau selalu mengajak seorang dua anak muda bersembahyang. Beliau juga sering menegur secara bersopan mengenai sikap kejahilan segelintir penghuni Kandang Kambing. Haji Karman sedar bahawa beliau tidak dapat menyelesaikan masalah perjuangan mereka yang berusaha keras demi sesuap nasi pagi dan petang.
Melalui watak Haji Karman, di dapati bahawa sikap ingat-mengingati mengenai akhirat di amalkan oleh Haji Karman. Haji Karman juga tidak berputus asa untuk menasihati penduduk di Kampung Kambing untuk berubah ke jalan yang benar. Beliau juga sering bersikap sopan apabila menasihati penduduk di situ. Sikap yang diamalkan oleh Haji Karman perlulah dicontohi oleh masyarakat pada zaman ini.

5.4  Falsafah Ekonomi
Menurut Seri Lanang (2016), ekonomi ialah sistem pendapatan dan pengurusan harta benda. Falsafah ekonomi dalam novel Salina menunjukkan perubahan yang sangat ketara. Ia dapat dilihat melalui kehidupan masyarakat pada zaman tersebut yang hidup dalam keadaan yang mewah. Namun, selepas berlakunya perang dunia kedua didapati bahawa mereka hilang punca pendapatan. Pelbagai pekerjaan yang dilakukan oleh penduduk di Kampung Kambing untuk menyara keluarga. Antara pekerjaan yang dilakukan oleh mereka adalah seperti pelayan, penarik beca, dan tukang cuci.
Falsafah ekonomi selepas perang dunia kedua yang paling ketara dapat ditunjukkan apabila kaum perempuan bekerja sebagai pelayan. Ini dapat ditunjukkan melalui watak Zarina yang merupakan pelayan untuk menyara keluarganya. Petikan yang menunjukkan falsafah ekonomi dalam novel Salina adalah seperti berikut:

“Mak dah pun carikan kerja untuk kau,” kata Zarina mendekat ke maksud utamanya. “Kerja tu dah pun mak dapatkan Cuma tunggu jawapan dari kau saja. Mak harap benar kau mahu bekerja.”
              (Salina,1961:162)

Bukan itu saja, falsafah ekonomi ini juga boleh ditunjukkan melalui watak Sunarto. Beliau seorang anak muda yang saban hari kerjanya membawa beca. Dengan becanya, dia mencari rezeki bagi memanmpung dan menyara keluarga angkatnya, Zarina dan Nahidah. Melalui novel Salina, kita dapat melihat watak seorang ibu tunggal yang terpaksa bekerja sebagai tukang cuci di empat buah rumah orang Inggeris demi menyara anaknya yang sedang belajar iaitu Hilmy. Petikan yang menunjukkan falsafah ekonomi adalah seperti berikut:;

Bukan kerja apa-apa; cuma cuci kain dan baju saja,” Katijah menerangkan. “Hari ni kakak cuci kain baju di rumah Nyonya Swee Kim dan Encik Burhan. Esok cuci di rumah orang lain pula. Begitu bergilir-gilir. Kalau tak begitu manalah nak dapat duit,” Katijah memandang Hilmy dan berkata, “nak harapkan budak ni, kurang-kurang kena tunggu dua tiga tahun lagi…                                                                                                                                                        (Salina, 1961: 38)

6.0 NILAI BUDAYA DAN PANDANGAN HIDUP
6.1 NILAI BUDAYA
Budaya menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al (2016:116) merupakan satu perkataan yang berasal daripada perkataan bahasa Sanskrit, iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang membawa makna budi pekerti atau akal. Umumnya, budaya membincangkan hal-hal yang berkaitan budi pekerti dan akal manusia dalam kehidupan. Melalui perkataan bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai culture, iaitu satu perkataan daripada bahasa Latin colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan. Sebagai manusia, budaya adalah satu daripada elemen yang akan membezakan manusia daripada hidupan-hidupan lain. Nilai budaya mempunyai satu hubungan yang sangat erat dengan konsep masyarakat. Setiap perkara yang wujud dalam masyarakat berhubung kait dengan kebudayaan yang dipegang atau dimiliki oleh masyarakat tersebut. Budaya juga merupakan satu perwarisan daripada satu generasi ke generasi berikutnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau.
            Dalam perspektif yang lain, budaya juga merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam, kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota dalam masyarakat. Tuntasnya, dapat dirumuskan budaya sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup manusia.

6.1.1  Nilai Mengenang Budi
Berdasarkan konsep budaya tersebut dapat dilihat beberapa nilai budaya di dalam novel Salina iaitu, nilai mengenang budi. Nilai ini ditonjolkan pada watak Sunarto yang mengenang budi ayah angkatnya, iaitu Mutalib yang telah menyelamatkannya yang menghidap penyakit demam malaria sewaktu dibawa oleh tentera Jepun ke Siam. Walaupun ayah angkatnya telah meninggal dunia dan dirinya sering diherdik dan dihina oleh Zarina namun dia tetap tinggal di rumah Zarina kerana ingin membalas jasa ayah angkatnya dengan menjaga Nahidah dan Mansur dengan baik. Hal ini hasil daripada didikan ayah angkatnya yang sering bercerita kepadanya tentang budi bahasa dan dia masih mengingati kata-kata ayahnya, iaitu :

Sewaktu di kampungnya dahulu ayahnya sendiri sering bercerita kepadanya tentang budi bahasa. Walaupun di masa itu tidak diketahuinya sungguh-sungguh apa sebenarnya budi bahasa itu dalam erti yang mendalam, tetapi kata-katanya “budi baik jangan kau lupakan sehingga bila-bila” itu tetap semarak itulah yang menghalangnya untuk meninggalkan keluarga Zarina-keluarganya. Ya, budi baik orang tak boleh kulupa sampai bila-bila, bisik Sunarto di dalam hatinya.
(Salina, 62)


6.1.2  Nilai Mengambil Berat Demi Kebaikan Orang Lain
Selain itu, nilai  mengambil berat demi kepentingan dan kebaikan orang lain. Nilai  ini dapat dilihat melalui watak Katijah. Katijah sering menasihati Siti Salina agar meninggalkan Abdul Fakar yang selama ini menganiaya dan menyeksa Siti Salina. Katijah juga sering bertanyakan sebab Siti Salina terlalu menyayangi Abdul Fakar sedangkan Abdul Fakar sering mempergunakan Siti Salina, tetapi Siti Salina tidak pernah merungut dan membiarkan sahaja dia diperlakukan begitu. Contohnya dapat dilihat pada petikan yang berikut:

“Saya tak adil selama ini, kak,” katanya kepada Katijah. Katijah kehairanan juga mendengar jawapan itu.
Kenapa?”
“Sebab selama ini saya tak ambil berat segala apa kakak nasihatkan. Bukan saya tak tau apa yang kak masihatkan itu benar, tapi entahlah, saya tak mau menerima nasihat itu sehinggalah sekarang ini. Sekarang ini barulah saya sedar apa yang kakak nasihatkan itu ialah untuk kebaikan saya. Dan saya akan ikut sekarang,” kata Siti Salina.
(Salina, 527)

6.1.3  Nilai Ketabahan
Seterusnya, dapat dilihat nilai ketabahan seorang wanita dalam mengharungi dugaan dan cabaran dalam hidup. Nilai ketabahan ini dapat dilihat menerusi watak Siti Salina yang cekal dalam menghadapi dugaan hidup setelah ahli keluarganya meninggal dunia akibat terkena bom semasa Perang Dunia Kedua. Berikutan dengan itu, Siti Salina sanggup tinggal di Kampung Kambing dan mula terjebak dengan dunia pelacuran kerana Siti Salina mengalami kesempitan hidup. Pada masa yang sama, Abdul Fakar turut mengambil kesempatan terhadapnya dan seringkali Siti Salina dipukul dan dimarahinya. Contohnya :

“Kenapa kau sanggup diseksa orang sampai begitu?”
Katijah bersuara sambil terbatuk-batuk dua tiga kali.
                                                                                                                        (Salina, 524)
6.1.4  Nilai Kasih Sayang     
Di samping itu, dalam novel Salina juga,  dapat dilihat nilai kasih sayang diterapkan oleh pengarang.  Nilai ini dapat dilihat melalui hubungan Salina dan Abdul Fakar. Walaupun sering dipukul dan dilukai oleh Abdul Fakar namun Salina tetap sayang dan sanggup menjaga dan memberikan wang kepada Abdul Fakar.  Abdul Fakar bermonolog kepada dirinya sendiri dengan mempersoal kebaikan Salina kepada dirinya.

“Mengapa Siti Salina begitu menyayanginya, tidak pernah dipersoalkannya.  Dan apakah Siti Salina menyayanginya itu untuk selamanya atau pun untuk seketika sahaja, tidaklah dipersoalkannya.  Yang difikirkannya hanyalah waktu sekarang ini sahaja.  Sekarang dia senang; hidupnya “makan tanggung, berak cangkung!”  Masa depannya itu diyakininya penuh dengan kemungkinan-kemungkinan gilang-gemilang “makan tanggung, berak cangkung” juga.”
    (Salina: 94)

6.2  PANDANGAN HIDUP
Pandangan hidup merupakan konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu, seperti pendapat yang diberikan oleh sarjana Islam iaitu Syed Naquib al-Attas (1972), beliau menjelaskan bahawa pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Pandangan hidup adalah satu konsep yang dimiliki oleh masyarakat dalam komuniti tertentu yang bertujuan untuk menganggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam.
            Lazimnya, masyarakat memiliki pandangan hidup tersebut dan tidak terkecuali masyarakat Melayu.  Pandangan hidup masyarakat Melayu lazimnya akan melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia, dan hubungan manusia  dengan alam. Pandangan hidup tentang manusia dapat dijelaskan kepada tiga bahagian iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat. Walau bagaimanapun, secara umumnya, Islam sememangnya telah berakar umbi dalam pemikran serta pembentukan pandangan hidup masyarakat Melayu. Namun begitu, unsur-unsur tradisi tetap mempunyai kesan yang besar dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu.

6.2.1 Kepentingan Menjaga Maruah Diri
Pandangan hidup yang dapat dikesan melalui novel Salina ialah pandangan hidup tentang kepentingan menjaga maruah diri. Dalam novel Salina, abang Nahidah, iaitu Mansur sering menasihati Nahidah supaya sentiasa menjaga maruah dan nama baiknya kerana bagi Mansur tiada yang lebih berharga di dalam dunia ini melainkan nama baik dan maruah diri. Contohnya:

Abangnya suka, bercakap kepadanya tentang beberapa hal, bercakap sekali tentang rancangannya selepas habis sainnya dengan sojar itu, dan meminta sekali lagi supaya adiknya itu menjaga dirinya baik-baik, mengingatkan bahawa tidak ada yang lebih berharga di dalam dunia ini selain meninggalkan nama yang baik                                                                                                               (Salina, 435)
           
Berdasarkan contoh tersebut, Mansur sangat menyayangi adiknya, Nahidah dan sentiasa menasihati adiknya supaya meninggalkan pekerjaan sebagai pelayan. Walaupun Mansur mengetahui bahawa adiknya terpaksa bekerja sebagai pelayan kerana ibu tirinya, Mansur sentiasa berpesan kepada Nahidah supaya menjaga maruah dirinya dan tidak terlanjur melayani lelaki-lelaki di tempat kerjanya walaupun dibayar dengan harga yang tinggi.

6.2.2  Kepentingan Ajaran Islam
Seterusnya, pandangan hidup mengenai kepentingan ajaran Islam dalam hidup. Walaupun kehidupan masyarakat yang serba kekurangan di Kampung Kambing, namun pelajaran terhadap ilmu agama tetap dipentingkan dan tidak ditinggalkan.  Dalam Novel Salina ini jelas ditunjukkan dalam watak Pak Haji yang dianggap nyanyuk oleh Hilmy.  Pak Haji merupakan orang tua yang sangat mementingkan nilai agama kerana dialah yang mengajar kanak-kanak yang ada di kawasan perumahan itu mengaji.  Contoh:

“Entahlah kak, tapi saya rasa tidak pula begitu, dialah yang mengajar budak-budak mengaji di sini.  Murid-muridnya banyak.  Pendeknya, budak-budak di sini semuanya belajar mengaji dengannya,” kata perempuan muda yang cantik itu.
                                                                                                                        (Salina: 11)

6.2.3  Kepentingan Ilmu Pelajaran
Melalui novel Salina juga jelas menunjukkan pandangan hidup mengenai kepentingan ilmu pelajaran. Perkara ini jelas ditunjukkan oleh watak Salina dan Hilmy yang sangat mementingkan pelajaran yang mana Salina menjelaskan kepada Hilmy betapa pentingnya pelajaran sekiranya hendak berjaya apabila dewasa kelak.  Salina menjelaskan kepada Hilmy sekiranya mendapat peluang untuk menyambung pelajaran dia harus mengambilnya.  Salina turut menyatakan mengenai biasiswa yang boleh didapati sekiranya pelajar itu kurang berkemampuan tetapi hebat dari segi akademik.  Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Salina amat mementingkan pelajaran.  Contoh:

Hilmy tak tau sekarang ini bagaimana susah orang nak dapat kerja?” kata Siti Salina   menyambung lagi, “kalau tak ada certificate sekolah, tak dapat kerja. Kalau tak ada kerja bagaimana nak makan, dan kalau tak ada makan, bagaimana nak hidup? Orang sekolah hendak apa? Kerana nak senang kemudian harilah. Jadi terlanjur ada peluang bersekolah tu belajarlah baik-baik. Janganlah difikirkan soal lain dulu. Tunggulah dan belajarlah sampai dah lulus dan dah dapat certificate yang baik. Nanti bolehlah dapat kerja yang baik. Kalau berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negeri pun,  janganlah dilepaskan. Itulah yang lebih baik. Kakak fikir kalau Hilmy belajar betul-betul tentu Hilmy dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri; tentu Hilmy akan dapat scholarship. Sekarang ini khabarnya anak-anak orang miskin selalu diberi scholarship kalau otaknya baik.”
                                                                                                                        (Salina: 120)


7.0  NILAI ILMU
Nik Hasan Basri Nik Ab. Kadir (2007) mendefinisikan nilai sebagai segala perbuatan, perlakuan atau tindakan yang bermutu, bertaraf atau elok yang harus dijadikan contoh dan teladan. Abdul Rahman Napiah at el.  (2014) memfokuskan nilai dalam bidang sains sosial dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Dalam pada itu, nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai.
Berdasarkan karya moden yang dikaji, iaitu novel Salina, terdapat beberapa ilmu yang telah dikenal pasti dalam kepengarangan A. Samad Said seperti ilmu pertukangan, ilmu ketenteraan, ilmu agama dan ilmu bahasa. Nilai ilmu yang diterapkan dalam sesuatu karya sememangnya dapat memberikan keindahan dalam penceritaan. Dalam pada itu, pembaca dapat memperoleh nilai baik yang boleh diteladani dan nilai buruk yang boleh dijadikan sempadan serta teladan.

7.1 Ilmu Pertukangan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu pertukangan ialah ilmu yang berkaitan dengan kepandaian seseorang dalam pekerjaan tangan atau perbuatan memperbaiki sesuatu kerosakan. Berdasarkan novel Salina, ilmu pertukangan dapat dilihat dalam diri watak utama itu sendiri iaitu, Siti Salina. Setelah Siti Salina berpindah ke Kampung Kambing setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, Siti Salina telah menyewa rumah di kampung tersebut, tetapi rumah yang didudukinya itu mengalami banyak kebocoran.

          Tuan rumah, iaitu Kurupaya Samy langsung tidak mengendahkan kerosakan yang terdapat di rumah tersebut kerana dia hanya mahu mengaut keuntungan di atas kesusahan orang lain. Kurupaya Samy telah menyewakan Salina sebuah kandang kambing dengan harga dua puluh ringgit sebulan sedangakan dia tidak memperbaiki kerosakan atap di rumah tersebut.
          Walau bagaimanapun, kebolehan Siti Salina dalam pertukangan telah membuatkan Siti Salina memperbaiki atapnya yang bocor tanpa mengharapkan tuan rumah tersebut, iaitu Kurupaya Samy. Petikan di bawah membuktikan bahawa Siti Salina mempunyai kemahiran dalam membaiki kebocoran atap dengan meletakkan siling di atap tersebut kerana sebelum ini, Siti Salina hanya meletakkan daun labu di atas atap tersebut:

“Tak dapat tidulah. Asyik kena betulkan atap saja. Sini dibetulkan sana bocor; sana dibetulkan sini pula bocor. Ada daun labu di atasnya pun tak guna. Bocor juga. Kalaulah begini saja tiap-tiap malam, pendeknya tak dapat tidur langsunglah,“ kata Hilmy. Kemudian, diam seketika; menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Dan segera menyambung, “Rumah kakak tak bocor?’
“Dah tak bocor sekarang. Dah kakak betulkan. Kalau tidak dulu bocor juga macam rumah Hilmy tu, “Siti Salina menjawab. Matanya memperhatikan api di dapurnya.
(Salina, 1961:42)

7.2 Ilmu Ketenteraan
Nilai ilmu lain yang terdapat dalam novel Salina ini ialah ilmu ketenteraan. Ilmu ketenteraan bermaksud ilmu yang berkaitan dengan perihal peperangan. A. Samad Said memasukkan nilai ilmu ketenteraan dalam novel Salina secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana, beliau lebih cenderung menggunakan tema peperangan yang merupakan antara pengalaman beliau sendiri. Hal ini demikian, peperangan banyak memberi kesan kepada masyarakat yang terlibat termasuklah dirinya sendiri. Walau bagaimanapun, ilmu ketenteraan ini hanya diceritakan secara asas sahaja seperti latihan-latihan yang dijalani oleh anggota tentera, seperti yang dialami oleh watak kekasih Salina, iaitu Muhammad Yusup seperti berikut:

“Saya dan kawan-kawan lain akan dibawa ke suatu tempat yang masih belum diketahui lagi di mana. Khabarnya kamu akan belajar menggunakan senjata (tidak lagi belajar cara mengikat bandage dan merawat luka!) Saya dan kawan-kawan lain akan belajar pula cara hendak menggunakan senjata untuk membunuh manusia yang menjadi musuh.”
(Salina, 1961:184-185)

Dalam pada itu, peperangan yang digambarkan oleh Muhammad Yusuf juga sebagai suatu peristiwa yang kejam dan peperangan juga merampas segala kebahagiaan manusia. Petikan ini dapat dilihat menerusi surat yang telah dihantar oleh Muhammad Yusuf kepada Salina, contohnya :

Surat Muhammad Yusuf terus dibacanya: “Saya bukan hendak membimbang-bimbangkan Inah. Saya juga bukan hendak menakut-nakutkan Inah. Tapi, benarlah peperangan selalu, dan di mana-mana, membawa akibat yang tidak baik sahaja. Ia merampas segala.”
(Salina, 1961:183)

7.3 Ilmu berbudi bahasa
Di dalam novel Salina, penulis turut memasukkan ilmu budi bahasa. Ilmu berbudi bahasa ini sewajarnya diketahui dalam masyarakat setempat terutamanya kaum Melayu tentang etika dalam berbahasa. Antara bukti yang menunjukkan ilmu budi bahasa adalah seperti di bawah :

Sewaktu di kampungnya dahulu ayahnya sendiri sering bercerita kepadanya tentang budi bahasa. Walaupun di masa itu tidak diketahuinya sungguh-sungguh apa sebenarnya budi bahasa itu dalam erti kata yang mendalam tetapi kata-kata ayahnya “Budi baik orang jangan kau lupakan sampai bila-bila” itu tetap semarak dalam hatinya.dan kata-kata yang semarak itulah yang menghalangnya meninggalkan keluarga Zarina- ‘Keluarga’nya!“ Ya, budi baik orang tak boleh kulupakan sampai bila-bila”, bisik Sunarto di dalam hatinya.
(Salina, 1980 : halaman 42)             

Berdasarkan halaman dan petikan di atas, Sunarto sering mengenangkan nasihat arwah ayahnya tentang ilmu budi bahasa. Ayahnya sering menasihati supaya Sunarto sentiasa bersangka baik dengan orang terutamanya budi baik orang terhadap dirinya sendiri. Melalui nasihat dan pesan arwah ayahnya tentang budi bahasa, Sunarto sentiasa bersangka baik dengan keadaan sekeliling walaupun sentiasa mempunyai krisis bersama Zarina sekeluarga.

7.4 Ilmu memikat
Novel Salina karya A.Samad Said merupakan novel yang melibatkan kaum hawa dalam mempertahankan hidup meskipun dalam bidang yang sering dipandang serong dalam kalangan masyarakat. Penulis turut memasukkan unsur pemikat atau ilmu memikat yang dilakukan oleh Salina untuk menggoda teman lelakinya Abdul Fakar. Antara aspek ilmu memikat adalah seperti di bawah:

Di waktu sarapan pagi dia duduk melayan di sebelah Abdul Fakar. Dia melayannya dengan lemah lembut, dan kalau perlu, ini selalu diajaknya Abdul Fakar bergurau sekali biar selera itu “terbuka”. Dan kalau Abdul Fakar ‘malas makan’-ini selalu disengajakan oleh Abdul Fakar- dia akan menyuapkan makanan-makanan itu; didekatkannya makanan itu ke mulut Abdul Fakar dan bila Abdul Fakar menggeleteknyya. Dan dia ketawa manja. Dan selalunya sarapan pagi itu tidak akan “ sempurna” bukan makanan tapi sulaman gurauannya itu tidak sampai ‘meliar-liar’… sehingga makan pagi itu lebih sesuai benar kalau terpanggil “makan bergurau” sahaja.
( Salina, 1980 : halaman 101)

Berdasarkan petikan pada halaman di atas, Salina merupakan watak yang sangat bijak dalam ilmu memikat. Ilmu memikat atau melayan ini ditujukan kepada Abdul Fakar iaitu kekasihnya yang bersekedudukan dengannya . Ilmu memikat dan melayan ini merupakan ilmu yang sangat diperlukan dalam kerjaya Salina sebagai pekerja kelab dan pelayan. Dalam ilmu memikat, Salina perlu pandai melayan dan berifat lemah lembut, dan bergurau manja. Dalam petikan di atas, Salina akan melayan Abdul Fakar dan menyuap makanan-makanan yang dikehendaki oleh Abdul Fakar. Ilmu memikat Salina sering dipandang serong oleh masyarakat Kampung Kambing.


 8.0 PENUTUP
Kesimpulannya, novel Salina boleh dianggap sebagai sebuah karya yang unggul kerana mempunyai nilai estetik yang tinggi dari aspek kepengarangannya. Ciri-ciri karya yang hebat terdapat dalam novel Salina memperlihatkan keunggulan pengarang dalam menyampaikan mesej kepada pembaca. Dalam hal ini, novel Salina memperlihatkan kepengarangan A. Samad Said yang mampu mencetuskan pemikiran, nilai dan pegangan dan menceritakan keadaan hidup bangsa Melayu selepas perang dunia kedua yang hidup dalam keadaan yang terdesak dan terpaksa melacurkan diri demi ingin terus hidup. Disamping itu juga, pengarang turut banyak menerapkan nilai serta pengajaran yang boleh pembaca teliti dan ambil sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian menerusi novel ini.


 BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Napiah et al. (2014). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.

A.Samad Said. (1999). Salina sebuah novel dekad 50-an. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
                   Pustaka.

A.Samad Said. (2003). Salina. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana .(2013). Berdiri di akar diri: kritikan sastera Melayu  pascamoden. Kuala
Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad.

Nik Hassan Basri. (2007). Komsas Pengangan Teras Keterampilan. Kuala Lumpur: Icon
Region Sdn. Bhd.

Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.

Siti Aisah Murad. (2007). A.Samad Said dalam esei dan kritikan. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka


















2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Aku baca novel Salina dari lepas Isyak hingga subuh
    Ketika itu aku bertugas sebagai pegawai keselamatan shiff malam pada tahun 2015
    Kenangan sungguh

    ReplyDelete