SLMT DTG

~ SELAMAT DATANG KE BLOG KARYA AGUNG MELAYU :)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Blog ini adalah salah satu tugasan kursus BMS 3022 Karya Agung Melayu (2016) kumpulan 2

Hikayat Raja Pasai





  1.0 PENGENALAN
Hikayat Raja Pasai tergolong dalam genre sejarah yang banyak menceritakan tentang kisah Raja Pasai yang telah memeluk agama Islam. Ia meliputi kisah pembukaan negeri, corak pentadbiran, politik, sosial sejak dari kewujudan, perkembangan, zaman keemasan, kekalahan hinggalah zaman keruntuhannya. Sebagai sebuah hikayat teks lama, sudah pasti bahawa penulisannya telah mendapat tokok tambah daripada generasi ke generasi. Ia bertujuan untuk memperindahkan lagi erta mampu menarik perhatian para pembaca untuk membaca. Ditambah pula, masyarakat masyarakat dahulu mengamalkan tradisi penceritaan semula dari satu individu ke individu lain.Setelah hikayat ini dikarang,sudah menjadi satu cabaran kepada pengkaji-pengkaji memandangkan tulisan yang digunakan sukar untuk dikaji oleh mereka memandangkan ia menggunakan tulisan jawi lama yang bercampur dengan unsur-unsur gaya bahasa yang sukar difahami.        

2.0 SINOPSIS
Hikayat Raja-Raja Pasai merupakan hasil sastera sejarah yang tertua yang dipercayai disusun pada abad ke-15 iaitu semasa pemerintahan Malikul Saleh hingga Pasai ditakluki oleh Majapahit. Ia dapat dibahagikan kepada 3 mengikut peralihan cerita.
      
       Pertama, mengenai pembukaan Negeri Samudera-Pasai dan kisah pengislamannya. Kisahnya mengaitkan keturunan raja-raja Pasai yang bernama Raja Ahmad & Raja Muhammad. Ketika berburu, Raja Ahmad menjumpai budak perempuan daripada buluh betung. Mereka berkahwin & mendapat seorang puteri bernama Puteri Betong. Puteri Betong pula dikahwinkan dengan Merah Gajah & mendapat 2 orang putera iaitu Merah Silu & Merah Hanum. Setelah dewasa, Merah Silu telah membuka Pasai Samudera sempena seekor semut besar. Kisah pengislaman Pasai pula dikaitkan dengan Merah Silu yang bermimpi bertemu dengan Rasulluah & menukar nama kepada Sultan Malikul Saleh.
       Manakala bahagian kedua menceritakan kisah mengenai kisah mengenai Tun Brahim Bapa yang merupakan tokoh yg menjadi kebanggaan Kerajaan Pasai.Kegagahan Tun Brahim Bapa(anak Sultan Ahmad) digambarkan seperti Hang Tuah.Beliau juga amat dikenali rakyat kerana prihatin akan kehidupan rakyat.
       Bahagian akhir cerita pula mengenai kisah penaklukan Pasai oleh Majapahit. Puncannya bermula akibat daripada sifat dengki pembesar Pasai kepada Tun Brahim Bapa. Mereka menfitnah Tun Brahim Bapa kononnya ia telah menceroboh gundik kesayangan raja lalu dijatuhkan hukuman dgn meminum racun. Setelah kematian Tun Brahim, kekuasaan Pasai menjadi lemah & mudah ditakluki Majapahit. Akhirnya, Pasai dapat dikalahkan oleh Raja Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.
        Dalam hikayat ini ada terselit unsur mitos iaitu ketika Raja Muhammad membuka negeri &berjumpa dgn buluh betung. Dari betung itu lahir seorang puteri bernama Puteri Betong. Manakala kakanda Raja Muhammad iaitu Raja Ahmad mendapat putera yang dipelihara oleh gajah lalu diberi nama Merah Gajah. Setelah Merah Gajah berkahwin dgn Puteri Betong, mereka memperolehi anak bernama Merah Silu & Merah Hanum. Ada juga dikaitkan dgn legenda mengenai kedatangan Islam yg dihubungkan dgn Nabi Muhammad. Merah Silu mendapat mimpi sehingga dpt mengucap dua kalimah syahadat & dapat membaca Al-Quran. Setelah memeluk Islam, ia berkahwin dgn Puteri Ganggang dari Perlak & mendapat putera bernama Malikul Tahir.
          Kesimpulannya, Hikayat Raja-Raja Pasai mengandungi unsur metos & sejarah seperti yang terdapat dlm ciri sastera sejarah. Kegagahan Tun Brahim diselitkan di samping memasukkan bentuk puisi. Akan tetapi penggunaan bahasa kurang menarik & menyukarkan pembaca. Ayatnya juga tidak sempurna di samping terselit bahasa Melayu kuno. Namun begitu, ia merupakan sastera sejarah yang bermutu

3.0 PEMIKIRAN DALAM HIKAYAT RAJA PASAI
Mohd Rashid Md. Idris et al. (2016: 69), mendefinisikan pemikiran sebagai subjek yang dibawakan oleh pengarang. Bermula daripada idea dan pengalaman dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk dijelmakan menjadi persoalan dan tema karya. Tambahnya lagi, daripada situlah ia dikembangkan untuk menyampaikan mesej dan tujuan yang membentuk pemikiran dan idealisme pengarang. Jadi, jika dilihat pula dalam Hikayat Raja Pasai, secara keseluruhannya pengarang dilihat cuba menonjolkan idea atau pemikiran tentang sosio-budaya serta agama. Hal ini jelas dilihat apabila pengarang memasukkan unsur agama Islam sebagai agama rasmi bagi raja-raja di negeri Pasai. Selain itu, berikut merupakan antara pemikiran atau idea dan fikiran utama di dalam Hikayat Raja Pasai:


3.1 Kedatangan Islam
Penceritaan di dalam Hikayat Raja Pasai dimulakan dengan menceritakan bahawa negeri Pasai merupakan negeri pertama yang rajanya memasuki agama Islam. Berikut merupakan contoh petikan yang menggambarkan kemunculan Islam di Pasai:

“Al kisah peri mengatakan ceritera raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka ada diceritakan oleh orang yang empunya ceritera ini, negeri yang dibawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah.”
                                                                                    (Hikayat Raja Pasai, 1997: 1)

Kedatangan Islam disini bermula setelah berlakunya pengislaman Raja Pasai ketika itu iaitu Merah Silu ataupun dikenali sebagai Malikul Salleh selepas pengislamannya. Berikut merupakan contoh petikan yang menjadi petunjuk kepada permulaan pengislaman demikian terjadi:

“Bahawa ada sepeninggalku wafat itu, ada sebuah negeri di bawah angin, Sanudera namanya; apabila ada didengar khabar negeri itu, maka kamu suruh sebuah kapal membawa perkakas alat kerajaan dan kamu bawai orang dalam negeri itu masuk agama Islam serta mengucap dua khalimah syahadat.”
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 10)

3.2 Asal-usul atau Susur Galur Keturunan Raja Pasai
Pengarang cuba mengembangkan jurai keturunan atau susur galur Raja Pasai ini dengan memulakan cerita tentang dua orang bersaudara iaitu Raja Muhammad dan Raja Ahmad yang seterusnya menyatukan kedua anak mereka. Puteri Raja Muhammad dinikahkan dengan putera Raja Ahmad dan dari sinilah bermulanya perkembangan dalam jurai keturunan Raja Pasai tersebut. Petikan dibawah menunjukkan cara jurai keturunan raja Pasai ini bermula.


“Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat negeri di Samalanga.”
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 1)

“Maka didudukkannyalah Merah Gajah itu dengan Puteri Betung. Maka berbesanlah ia kedua bersaudara sentiasa ia dalam kesukaannya.”
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 4)

3.3 Sejarah Pembukaan Negeri
Di dalam Hikayat Raja Pasai pengarang bercerita tentang peristiwa pembukaan negeri Pasai dan Samudera melalui watak-watak seperti raja atau sultan yang juga menjadi simbolik bagi kuasa pentadbiran tertinggi khususnya dalam masyarakat Melayu. Diceritakan bahawa sewaktu Merah Silau pergi berburu bersama anjingnya Si Pasai di sebuah hutan dilihatnya seekor semut yang besarnya seperti kucing. Lantaran itu, Merah Silau menangkapnya dan memakannya. Kemudian, diarahkan orang untuk membersihkan kawasan tersebut dan dibina istana. Merah Silau kemudian menamakan tempat itu dengan nama Samudera yang bererti semut yang amat besar.

“Maka tanah tinggi itu pun disuruh Merah Silau tebas pada segalaorang yang sertanya itu. Maka setelah itu diperbuatnya akan istananya; setelah sudah, maka Merah Silau pun duduklah di sana, dengan segala hulubalangnya dan segala rakyatnya diam ia di sana. Maka dinamai oleh Merah Silau negeri Samudera ertinya semut yang amat besar, di sanalah ia diam raja itu.”
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 15)
           
Seterusnya, diceritakan pula peristiwa pembukaan negeri Pasai. Peristiwa bermula ketika Sultan Malikul Saleh pergi berburu di tepi laut dengan membawa seekor anjingnya bernama Si Pasai. Sewaktu sampai, Sultan Malikul Saleh melepaskan anjingnya tersebut lalu, ia berlari masuk kedalam hutan berdekatan. Anjing tersebut kemudiannya bertemu dengan seekor pelanduk yang gagah dan berani.
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 19)

3.4 Kezaliman pemerintah
Kebanyakan karya kesusasteraan terdahulu pengarang banyak memperlihatkan sifat atau perilaku raja atau sultan yang kejam dan tidak bertimbang rasa terhadap golongan bawahannya. Hal ini turut dapat dilihat dalam karya Hikayat Raja Pasai ini melalui watak Sultan Ahmad Perumudal Perumal yang kejam sehingga sanggup membunuh anakandanya sendiri iaitu Tun Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara disebabkan hasad dengki dan juga ingin mengahwini anak perempuan yang juga anak kandungnya sendiri. Hal ini digambarkan dalam petikan teks yang berikut:

“Hai kamu orang Seri perbuatkan aku ubat hangat karna anakku Si Beraim Bapa bekas ia menyelam kalau-kalau ia dingin. Maka orang Seri pun berbuat peniaram. Maka dibubuhnya dalam peniaram itu racun.”
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 48)

Berbeza daripada Tun Beraim Bapa, Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara yang dibunuh dengan memakan racun, Tun Abdul Jalil pula yang mempunyai paras rupa yang sangat tampan dan rupawan membuatkan Tuan Puteri Gemerencang jatuh hati kepadanya. Disebabkan iri hati dan mahukan Tuan Puteri Gemerencang, Sultan Ahmad membunuh Tun Abdul Jalil. Kenyataan teks dibawah mengambarkan peristiwa tersebut:

Maka pada suatu hari Sultan Ahmad bersabda kepada Dara Zulaikha Tingkap. ‘Ayuh Dara Zulaikha Tingkap! Amanatku padamu hubaya-hubaya jangan engkau katakan pada seorang jua pun, jikalau Si Abdul Jalil tiada kubunuh kerajaanku jangan kekal dan Tuan Puteri Gemerencang pun jangan kuperoleh’. Setelah itu, maka dicaharinya daya upaya hendak membunuh Tun Abdul Jalil.”

3.5 Kesetiaan Dan Ketaatan Golongan Bawahan Terhadap Pemerintah
Mesej ini disampaikan oleh pengarang melalui watak Tun Beraim Bapa dan juga Sayid Semayamuddin. Tun Beraim Bapa begitu setia dan patuh terhadap bapanya iaitu Sultan Ahmad Perumudal Perumal sehingga sanggup memakan makanan yang berisi racun yang dikirim baginda meskipun mengetahui perihal tersebut kerana takut digelar derhaka.

“Jikalau kumakan makanan ini nescaya matilah aku, jikalau tiada kumakan nescaya derhakalah aku, tetapi baiklah aku mati daripada nama derhaka.”
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 48)

Sayid Semayamuddin pula merupakan menteri atau orang bawahan Sultan Malikul Mansur. Beliau dibunuh dengan dipenggal kepalanya dan diceraikan daripada badan oleh Sultan Malikul Mahmud. Hal ini demikian kerana, beliau lebih rela mati daripada berpisah dengan Sultan Malikul Salih setelah diberi pilihan oleh Sultan Malikul Mahmud untuk bersamanya atau tidak.. Maka, berikut merupakan jawapan Sayid Semayamuddin yang menunjukkan kesetiaannya kepada Sultan Malikul Mansur.

“Maka ia berdatang sembah. ‘Ya tuanku Syah Alam, jika patik diceraikan dengan tuan patik baiklah Syah Alam ceraikan badan patik dengan kepala patik.’ Maka disuruh Sultan Penggallah lehernya, maka dipenggal oranglah lehernya.”
(Hiayat Raja Pasai, 1997: 27)

Tuntasnya, pemikiran merupakan idea atau buah fikiran yang ingin disampikan oleh pengarang atau penulis dalam karyanya. Idea tersebut menjadi inti bagi menarik perhatian para pembacanya untuk memahami apa sebenarnya yang cuba dibincangkan atau disampaikan oleh pengarang dalam ceritanya.

4.0 ESTETIKA DAN KEPENGARANGAN

4.1 Estetika
Estetika atau keindahan adalah suatu sifat dan ciri sastera yang terpenting. Dalam seni sastera, keindahan berkait rapat dengan struktur karya, olahan yang memberi kesan kepada pengalaman, perasaan pemikiran, imaginasi dan wawasan. Estetika juga merujuk kepada aspek kekuatan karya. Dapatlah dinyatakan bahawa estetika ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan yang terpahat dalam pemikiran.
4.1.1 Gaya Bahasa
Menurut Nik Hassan Basri (2007), gaya bahasa ialah cara atau ragam bahasa yang digunakan dalam penulisan atau lisan ataupun cara pemakaian bahasa dalam sesebuah karya atau susunan kata, frasa dan ayat yang digunakan oleh pengarang dalam usaha melengkapkan tema dan persoalandan sebagainya dalam karya yang dihasilkan.
4.1.1.1 Gaya Bahasa Pengulangan
 (a)  Anafora
Anafora adalah sejenis gaya bahasa pengulangan, iaitu pengulangan perkataan pertama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam puisi tradisional, puisi moden sama ada kreatif atau bukan kreatif(Nik Hassan Basri,2007). Menurut Corbett dan Connors(1999), anafora ialah pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berturutan. Pengulangan ini akan melahirkan kesan emosi yang kuat. Di sini dapat dilihat anafora merupakan pengulangan perkataan di awal ayat atau baris. Contoh pengulangan perkataan pertama dalam karya ‘Hikayat Raja Pasai’ ialah :
Maka apabila mereka itu kembali, maka diberinya mereka itu seorang seekor kerbau, maka sukacitalah segala orang yang datang itu yang bermain dengan Merah Silau itu.

(b)  Epistrop
Epistrop atau epifora ialah sejenis gaya bahasa pengulangan dan nama lazimnya epistrofa, iaitu pengulangan kata, frasa, beberapa kata pada akhir baris atau ayat yang berturut-turutan. Menurut Nik Hassan Basri(2007), bahawa gaya bahasa pengulangan ini biasanya terdapat dalam puisi dan prosa. Tujuannya adalah untuk penegasan.. Lanham (1968) pula mentakrifkan sebagai pengulangan kata atau kata-kata yang hampir pada akhir beberapa klausa, ayat atau versi. Epistrop adalah sejenis pengulangan kata-kata yang sama atau kumpulan yang sama pada akhir klausa yang berturutan. Pengulangan ini memberikan rima pada ayat dan memberikan penekanan yang khusus pada elemen yang diulang. Contoh epifora atau epistrop dalam karya ‘Hikayat Raja Pasai’ :
Maka duduk ia di balai panjang penuh dengan balai itu, dan duduk ia di jambar panjang, sarat sejambar panjang, serta menguraikan rambutnya dan berjuntai mengayun-ngayun kakinya.
(c) Aliterasi
Aliterasi ialah sejenis gaya bahasa pengulangan bunyi konsonan yang sama pada awal kata dan yang berturutan waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden, waima kreatif atau bukan kreatif (Nik Hassan Basri,2007). Kamus Dewan Edisi keempat(2013) aliterasi sebagai pengulangan bunyi atau huruf pertama pada beberapa perkataan yang berturutan dalam sesuatu baris, terutama dalam sajak.  Aliterasi merupakan pengulangan konsonan pertama atau pertengahan dalam dua atau lebih kata-kata yang bersebelahan. Pengulangan ini mewujudkan rima dalam ayat (Corbett dan Connors,1999). Umar Junus(1989), menjelaskan bahawa aliterasi adalah pengulangan konsonan yang sama, biasanya pada awal kata. Lazimnya gaya bahasa ini lebih banyak ditemui dalam karya puisi atau prosa. Contoh aliterasi dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ :
...emas berpermata bersirat berambukan mutiara dan berkamar berkelit bau...
(d) Asonansi
Asonansi ialah sejenis gaya bahasa pengulangan bunyi vokal yang sama pada setiap baris atau pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada kreatif atau bukan kreatif (Nik Hassan Basri,2007). Corbett dan Connors (1999) mendefinisikan asonansi sebagai pengulangan bunyi vokal yang sama dalam suku kata yang diberi penekanan pada kata-kata yang bersebelahan yang mungkin didahului dan dikuti oleh konsonan yang berbeza. Selain mewujudkan rima dalam ayat, asonansi juga menghasilkan kesan onomatopuisi (onomatopoetic) dan humor. Lanham (1968) mendefinisikan asonansi sebagai kesamaan dalam bunyi antara bunyi vokal yang didahului dan diikuti oleh bunyi konsonan yang berbeza dalam kata-kata yang berhampiran. Gaya bahasa ini lazimnya terdapat dalam puisi dan amat jarang ditemui dalam teks prosa. Contoh yang terdapat dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ :
Setelah hari pun sianglah, maka Tun Beraim Bapa pun bersabda kepada bendaharinya...

4.1.1.2 Gaya Bahasa Pertentangan
(a) Hiperbola
Hiperbola yang merupakan salah satu daripada kelompok gaya bahasa pertentangan sejenis gaya bahasa yang mengandungi kenyataan tentang sesuatu perkara secara berlebih-lebihan atau secara melampau waima daripada segi jumlahnya, ukuran atau sifatnya. Tujuan yang demikian itu adalah untuk memberi penekanan maksud terhadap sesuatu perkara atau situasi demi memperhebat, meningkatkan kesan dan pengaruhnya. Hiperbola ialah penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan atau kesan memperhebat (Corbett dan Connors, 1999). Menurut Lanham (1968), hiperbola atau superlatio bermaksud menyatakan sesuatu dengan cara berlebih-lebihan. Anton Moeliono (1989) berpendapat hiperbola sebagai ungkapan yang melebih-lebihkan sama ada dari segi jumlahnya, ukurannya atau sifatnya. Contoh hiperbola dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ :
‘’Bahawa ada sepeninggalanku wafat itu, ada sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya...’’
(b) Paradoks
Paradoks ialah gaya bahasa yang mengandungi pertentangan yang nyata dengan fakta-fakta yang ada tetapi kenyataanya mengandungi kebenaran dengan pendapat umum atau realiti(Nik Hassan Basri,2007). Contoh dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ :
Suatu musuh pun tiada ada, melainkan Tun Beraim Bapa bermain-main bersenda bergurau dengan hulubalangnya...
(c) Anastrop
Corbett dan Connors (1999) menjelaskan bahawa anastrop adalah susunan kata yang lazim. Fungsi utamanya ialah untuk memberikan penekanan. Takrifan anastrop menurut Umar Junus (1989) merujuk kepada pembalikkan susunan ayat dengan tujuan supaya frasa yang diletakkan pada awal lebih penting daripada frasa yang di belakang. Contoh dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ :
... banyaklah mati dan luka sebab beramuk-amukan sama sendirinya dan berbunuh-bunuhan mereka itu...

4.1.1.3 Gaya Bahasa Pertautan
(a)  Disfenisme
Disfemisme ialah kebalikan daripada eufemisme. Disfemisme memilih bentuk kata atau ragam bahasa daripada yang lembut kepada yang kasar. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu lama kata-kata kasar selalunya bertujuan untuk bergurau dan berjenaka. Ungkapan disfemisme banyak terdapat dalam pantun jenaka. Disfemisme turut digunakan dalam bahasa daerah. Contoh dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ :
‘’Wah, tuanku paduka anakanda Merah Gajah itu telah matilah dibunuh oleh mertuanya.’’

4.1.1.4 Gaya Bahasa Pengguguran
(a) Polisidenton
Polisindeton menurut Corbett dan Connors (1999) ialah penggunaan kata hubung yang melebihi daripada jumlah yang lazim digunakan menurut rumus tatabahasa. Dengan kata lain, polisindeton merupakan kebalikan asindeton. Menurut Corbett, strategi polisindeton bertujuan melambatkan irama prosa dalam perenggan dan seterusnya menghasilkan kesan penegasan yang jitu. Polisindeton boleh juga digunakan bagi menunjukkan penekanan terhadap sesuatu maksud.
Contoh yang terdapat dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ :
... beberapa daripada emas dan perak dan rial dan senjata dan pelbagai warna kain dan urung dan lilin dan sarang burung...

4.1.1.5 Gaya Bahasa Perbandingan
(a) Simile
Simile ialah perumpamaan. Simile merupakan perbandingan terus iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita mengganggapnya sama. Perumpamaan ini secara jelas mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan menggunakan kata ‘’seperti’, ‘’laksana’’, ‘’bagai’’, ‘’umpama,’’bak’’, ‘’sebagai’’, ‘’peneka’’, ‘’serupa’’, dan macam-macam lagi. Contoh yang terdapat dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ :
‘’...Maka kerbau itu pun seperti singa mencari lawannya...’’

4.1.1.6 Gaya Bahasa Penyirnaan
(a) Sinkof
Sinkof atau sinkop ialah sejenis gaya bahasa penyirnaan, iaitu pengguguran huruf sisip atau suku kata perkataan dengan menghilangkan huruf tengah atau suku kata tengah bagi perkataan, atau pewujudan kata singkat atau ringkas, iaitu kata yang terhasil akibat penghilangan huruf atau suku kata. Contoh yang terdapat dalam ‘Hikayat Raja Pasai’ :
‘’... hendaklah jangan kamu kedua mengubahkan setia kamu akan cucuku kedua jangan kamu menyembah segala raja-raja yang lain daripada cucuku...’’

4.2  Kepengarangan 
Secara umumnya, teknik kepengarangan meliputi satu kaedah atau cara seseorang penulis atau pengarang menggarap jalan cerita sesebuah karya yang dihasilkan. Hal ini kerana, teknik yang digunakan untuk menggarap sesebuah cerita dalam sesebuah karya dilihat penting kerana melalui teknik tersebut penulis dapat menyampaikan sesuatu pemikiran secara berkesan dan tertib. Selain itu, teknik kepengarangan ini merupakan sinonim kepada teknik penceritaan yang lazimnya berkait rapat dengan penggunaan dialog, gaya bahasa, monolog, monolog dalaman, imbas kembali, imbas muka dan sebagainya.
4.2.1  Teknik Dialog
Dialog ialah perbualan antara watak dalam sesebuah cerita, drama, atau novel (Nik Hassan Basri,2007).
Dialog antara Raja Ahmad dengan seorang tua di dalam surau akan diulang oleh Raja Ahmad dengan isterinya sebaik saja Raja Ahmad kembali ke istana seperti dalam petikan berikut:
Maka hamba ceriterakan kepadanya akan hal saudara hamba mendapat puteri dalam rebung betung itu (1). Maka ujar orang tuha itu, “Jikalau tuan hendak akan anak, baiklah beri hamba tunjukkan dia akan tuan. Nantilah tuan hamba di sini barang sesaat (2)”
Dalam Hikayat Raja Pasai, terdapat banyak watak-watak sultan atau raja. Dalam masyarakat Melayu, kita mempercayai bahawa raja memiliki kesaktian dan berdaulat. Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa ;
“Di tengah rimba itu terdapat serumpun buluh betung yang terlalu rimbun. Sekalian rakyat menebas dan menebang pohon buluh itu. Akan tetapi, sebaik ditebas, buluh itu akan kembali tumbuh semula. Kemudian Raja Muhammad sendiri yang menebas buluh betung itu dan habis semua buluh betung itu ditebang oleh baginda”
(Hikayat Raja Pasai, 2004)
Melalui petikan ini, pengarang seolah-olah cuba untuk menyerlahkan kesaktian dan kedaulatan Raja Muhammad. Hal ini kerana Raja Muhammad sahaja yang mampu menebas pohon buluh tersebut sehingga habis ditebang sementara rakyatnya tidak mampu untuk menghabiskan pekerjaan tersebut disebabkan pohon buluh yang berulang kembali tumbuh selepas ditebang. Hal ini seterusnya menunjukkan kesaktian Raja Muhammad.
“Sultan mendengar suara itu, maka baginda mengambil air sembahyang lalu sembahyang dua rakaat serta salam. Belum pun selesai baginda memberi salam, maka datanglah wa’du’llah atas baginda diambil malaikatul maut nyawa baginda lalu ia kembalilah ke rahmatullah. Menurut suatu cerita, baginda mati semasa sedang sujud. Segala manusia hairan melihat baginda.”
(Hikayat Raja Pasai, 2004)
Dalam peristiwa ini, pengarang cuba menonjolkan keperibadian Sultan Maliku’l-Mansur yang merupakan seorang raja yang istimewa dan insan terpilih kerana baginda tahu ajalnya sudah dekat dan sempat sembahyang dua rakaat terlebih dahulu. Keistimewaan sultan ini diperkukuhkan lagi apabila pengarang mengaitkan satu cerita lain bahawa baginda telah mangkat semasa sedang sujud.

5.0 NILAI BUDAYA DAN PANDANGAN HIDUP

5.1 Nilai Budaya
Budaya merupakan satu perkataan yang berasal daripada perkataan bahasa Sanskrit, iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang membawa makna budi pekerti atau akal. Umumnya, budaya membincangkan hal-hal yang berkaitan budi pekerti dan akal manusia dalam kehidupan. Melalui perkataan bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai culture, iaitu satu perkataan daripada bahasa Latin colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan. Sebagai manusia, budaya adalah satu daripada elemen yang akan membezakan manusia daripada hidupan-hidupan lain. Nilai budaya mempunyai satu hubungan yang sangat erat dengan konsep masyarakat. Setiap perkara yang wujud dalam masyarakat berhubung kait dengan kebudayaan yang dipegang atau dimiliki oleh masyarakat tersebut. Budaya juga merupakan satu perwarisan daripada satu generasi ke generasi berikutnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau.
            Dalam perspektif yang lain, budaya juga merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Oleh itu, budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam, kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota dalam masyarakat. Tuntasnya, dapat dirumuskan budaya sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup manusia.
            Berdasarkan konsep budaya tersebut, nilai budaya yang dapat dilihat dalam Hikayat Raja Pasai ialah budaya hormat menghormati. Hormat menghormati merupakan satu nilai yang meletakkan batas dalam perkataan yang dituturkan, batas dalam perlakuan yang dilakukan dan memuliakan dan menghargai seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan, sapaan, dan kerjasama yang sopan dan beradab. Berikut merupakan antara petikan yang menjadi bukti kewujudan budaya hormat-menghormati dalam Hikayat Raja Pasai :


…“Setelah baginda sampai lalu masuk ke dalam rumah adinda itu, maka adinda
pun memberi hormat kepada kakanda itu berpesilakan duduk.Maka baginda pun duduk duduklah dua laki isteri dan adinda pun duduklah mengadap dua laki isteri.”…
(Hikayat Raja Pasai, 1997:  2)

Berdasarkan petikan di atas, pengarang menceritakan tentang rasa hormat yang ditunjukkan oleh Raja Muhammad iaitu adinda kepada Raja Ahmad. Daripada petikan itu jelas menunjukkan perlakuan Raja Muhammad iaitu memberi tunduk hormat kepada kakandanya Raja Ahmad meskipun kedua-duanya adalah raja kepada kerajaan masing-masing. Meskipun dilihat kedua-duanya mempunyai  kedudukan yang setara namun, disebabkan rasa hormat yang ditimbulkan dalam diri Raja Muhammad menyebabkan perlakuan memberi hormat itu dilakukan kerana beliau melihat statusnya ketika itu sebagai adinda kepada Raja Ahmad bukan sebagai raja kepada pemerintahannya. Nilai  budaya hormat menghormati ini, masih kekal diamalkan oleh masyarakat Melayu dan terus menjadi pengagangan di Alam Melayu.
            Seterusnya, nilai budaya yang dapat dikesan dalam Hikayat Raja Pasai ialah budaya tidak berputus asa. Nilai tidak berputus asa ialah satu sikap yang tidak pernah berhenti untuk berusaha dan terus mencuba walaupun menghadapi masalah dan musibah dalam percubaan untuk melakukan sesuatu atau mengalami kegagalan. Budaya tidak kenal erti putus asa ini banyak ditampil pada bahagian satu hikayat ini. Hal ini demikian kerana, pada bahagian satu ini banyak menceritakan tentang kegigihan dan kepayahan Merah Silau dalam membina kerajaannya sendiri. Berikut merupakan antara petikan yang menunjukkan budaya tidak putus asa dalam Hikayat Raja Pasai :
…“Maka segala orang dalam negeri itu pun dengaranlah akan  Merah Silau itu. Maka kata segala orang dalam negeri itu, ‘Binatang apa dibawa ini; jikalau demikian janganlah tuan-tuan duduk berama-sama dengan kami.’ Setelah Merah Silau menegar kata mereka sekalian, maka kata Merah Silau, ‘Hai segala tuan-tuan dalam negeri ini, sabarlah tuan-tuan dahulu sementara hamba mencari tempat duduk.”
(Hikayat Raja Pasai, 1997:   8)
            Petikan tersebut menceritakan peristiwa  tipu helah yang digunakan oleh Merah Hasum untuk mengusir Merah Silau daripada tanah jajahan Merah Hasum. Akibat daripada itu, Merah Silau terpaksa merantau ke tempat-tempat lain untuk mencari kawasan baharu untuk didiaminya. Perjalanan Merah Silau inilah yang menunjukkan budaya tidak berputus asa ditonjolkan iaitu Merah Silau terpaksa menghadapi pelbagai dugaan untuk mencari kediaman baharu. Dengan menggunakan kebijaksanaan dia dan sikap tidak berputus asa dia, akhirnya dia berjaya mendapatkan tempat baharu. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa sikap berputus asa banyak ditunjukkan dalam Hikayat Raja Pasai untuk membuktikan kepada pembaca tentang kepayahan yang dihadapi oleh seseorang raja dalam memulai kerajaannya. Nilai tidak berputus asa ini juga merupakan nilai yang sangat diterapkan dalam budaya masyarakat Melayu.
            Seterusnya, dapat dilihat pengarang juga memasukkan budaya mentaati raja atau pemerintah dalam Hikayat Raja Pasai. Mentaati raja sememangnya budaya yang sangat kuat dan kukuh yang diamalkan oleh keseluruhan masyarakat Melayu.  Antara bukti yang menunjukkan taat setiap rakyat kepada raja dalam hikayat ini adalah seperti dalam petikan yang berikut :

‘…Maka kedua menteri itu pun sujud menundukkan kepalanya seraya ia menangis berdatang sembah kedua menteri itu ‘Ya tuanku Syah Alam, zillu’llahi fi’’alam, demi Allah taala. Tuhan seru alam sekalian insyaAllah taala bahawa kedua kami yang diperhamba tiadalah dapat melalui seprti sabda Syah Alam yang maha mulia itu dan tiadalah kami menyembah segala raja-raja yang lain daripada anak cucu Syah Alam yang di atas batu kepala kami kedua ini.’ …
(Hikayat raja Pasai, 1997:  21)

            Petikan di atas jelas menunjukkan sumpah setia yang diberikan oleh dua menteri kepada rajanya. Taat setia ini dapat dilihat daripada janji yang dilontarkan oleh kedua menteri iaitu Sayid Semayamudin dan Sayid Ali Ghiatuddin untuk terus berbakti setia dan menghambakan diri bagi keturunan Sultan Malikul Saleh iaitu Sultan Malikul Mahmud dan Sultan Malikul Mansur seperti yang telah dipinta sendiri olah Shah Alam.  Situasi pada ketika itu jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang diceritakan pada waktu itu merupakan masyarakat yang sangat taat kepada rajanya.
            Nilai budaya yang lain ialah budaya dalam adat meminang. Meminang merupakan satu adat Melayu yang digunakan untuk melamar seorang wanita untuk dijadikan sebagai suri hidup atau isteri. Meminang juga merujuk kepada tindakan untuk memohon keizinan dan persetujuan daripada keluarga seorang wanita untuk menjadikannya isteri atau hak milik kepada seorang lelaki. Petikan berikut merupakan petikan yang menceritakan budaya yang terdapat dalam adat meminang bagi masyarakat yang diceritakan.

…Maka berdatang sembah menteri itu, ‘Ya tuanku Syah Alam, akan hal patik ini dititahkan paduka anakda Sultan Samudera Malikul Saleh raja di negeri Samudera Darulsalam hendak menjunjung Duli Syah Alam.’Maka dipersembahkanyalah segala kelengkapan dan segala perhiasan yang dibawanya itu dan bepersembahkan segala kata yang baik-baik lagi sempurna daripada yang memberi nasihat pada bersihkan muka segala manusia dan menerangkan segala hati yang keratan akan pekerjaan meminang Tuan Puteri itu…
(Hikayat Raja Pasai, 1997:  15)
            Perlakuan yang penuh adat ketika hendak melakukan adat peminang dapat dilihat melalui peristiwa peminangan dalam petikan tersebut. Perilaku yang ditunjukkan oleh menteri yang diutus khas oleh Sultan Malikul Saleh untuk meminang Tuan Puteri bagi negeri Perlak yang digambarkan penuh dengan adat santun dan berbahasa dalam menyampaikan hajat yang diutuskan oleh Sultan. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa budaya dalam adat meminang telah menjadi pegangan masyarakat dalam hikayat ini. Nilai budaya dalam adat meminang ini masih kekal diamalkan dan terus menjadi budaya dalam adat istiadat masyarakat di Alam Melayu.
            Selain itu, dapat juga dilihat budaya dalam adat pemilihan raja dalam Hikayat Raja Pasai. Budaya yang diperlihatkan dalam adat pemilihin raja untuk sesuatu negeri banyak diceritakan dalam hikayat ini. Pemilihan raja dilakukan untuk mengantikan pemerintahan yang sedia ada. Petikan berikut merupakan antara bukti penceritaan yang menggambarkan budaya masyarakat yang diceitakan dalam pemilihan raja bagi sesuatu kawasan itu.
… Maka baginda pun menghimpunkan segala menteri hulubalang dan segala orang besar-besar dakam negeri itu dans egala rakyat kecil akan mentabalkan Sultan malikul Mansur; maka berhimpunlah sekalian mereka itu menghadap Sultan; maka titah Sultan, ‘Hai segala kamu sekalian menteri dan hulubalangku dan segala rakyat bala tenteraku, bahawa aku hendak merajakan Sulat Malikul Mansur ini karna aku hampirlah rasanya akan meninggalkan negeri yang fana ini kembali ke negeri yang baka itu…
(Hikayat Raja Pasai, 1997:  20)
Meneliti petikan teks berikut, jelas menceritakan tentang adat yang dilakukan oleh sesebuah kerajaan yang ingin membuat pemilihan dan mentabalkan Sultan baru yang akan memerintah sesuatu negeri. Daripada petikan tersebut, menjelasn bahawa pemilihan Sultan adalah berdasarkan keputusan Sultan yang sedia ada iaitu Sultan Malikul Saleh. Sultan akan bertindak memilih penggantinya yang terdiri daripada kaum kerabatnya sendiri iaitu Sultan Malikul Mansur. Oleh itu, situsasi ini jelas dapat memberikan gambaran kepada umum tentang budaya yang dilakukan oleh masyarakat yang diceritakan dalam adat pemilihan Sultan.
5.2 Pandangan Hidup
Pandangan hidup merupakan konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu, seperti pendapat yang diberikan oleh sarjana Islam iaitu Syed Naquib al-Attas (1972), beliau menjelaskan bahawa pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Oleh itu, pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Pandangan hidup adalah satu konsep yang dimiliki oleh masyarakat dalam komuniti tertentu yang bertujuan untuk menganggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam.
            Lazimnya, masyarakat memiliki pandangan hidup tersebut dan tidak terkecuali masyarakat Melayu.  Pandangan hidup masyarakat Melayu lazimnya akan melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia, dan hubungan manusia  dengan alam. Pandangan hidup tentang manusia dapat dijelaskan kepada tiga bahagian iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat. Walau bagaimanapun, secara umumnya, Islam sememangnya telah berakar umbi dalam pemikran serta pembentukan pandangan hidup masyarakat Melayu. Namun begitu, unsur-unsur tradisi tetap mempunyai kesan yang besar dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu.
            Nilai budaya yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai telah mewujudkan pandangan-pandangan hidup mengenai hubungan manusia sesama, hubungan manusia dengan alam dan juga hubungan manusia dengan Tuhan.  Pandangan hidup berkaitan hubungan manusia sesama manusia dapat dilihat melalui adab rakyat terhadap pemerintah yang ditonjolkan dalam Hikayat Raja Pasai. Hal ini dapat dilihat dalam peristiwa semasa Raja Muhammad bersama segala rakyatnya menebas rimba. Dalam masyarakat Melayu, rakyat akan taat setia dan akan melakukan segala perintah raja. Apabila perintah itu tidak dapat dipenuhi atau mendapat halangan, rakyat akan kembali semula kepada raja kerana dalam konteks masyarakat Melayu, raja memiliki kesaktian atau daulat.
…“Di tengah rimba itu terdapat serumpun buluh betung yang terlalu rimbun. Sekalian rakyat menebas dan menebang pohon buluh itu. Akan tetapi, sebaik ditebas, buluh itu akan kembali tumbuh semula. Kemudian Raja Muhammad sendiri yang menebas buluh betung itu dan habis semua buluh betung itu ditebang oleh baginda”                                        
        (Hikayat Raja Pasai, 2004: 1-2)

Hubungan manusia sesama manusia dapat dilihat melalui ketaatan yang ditunjukkan oleh rakyat terhadap rajanya sendiri. Apabila wujud nilai taat setia dalam diri rakyat, maka tindakan untuk mempertahankan hubungan manusia sesama manusia yakni hubungan rakyat dan pemerintah sangat kukuh.
            Seterusnya ialah pandangan hidup berkaitan hubungan manusia dengan Tuhan dalam Hikayat Raja Pasai. Hikayat ini membawa satu pandangan hidup tentang kehidupan manusia yang sangat mementingkan ajaran Islam. Mementingkan ajaran Islam dalam kehidupan menunjukkan salah satu dari kaedah untuk menjaga hubungan manusia dengan Tuhan. Petikan berikut, merupakan antara petikan yang menunjukkan keagamaan dan mementingkan ajaran Islam ini ditonjolkan dalam Hikayat Raja Pasai.

…“Maka pada keesokan harinya datanglah fakir itu  membawa Quran tiga puluh juz itu kepada Sultan Malikul Saleh; maka diunjukkannya oleh fakir itu Quran kepada  Sultan Malikul Saleh; maka disambutnya dengan/takzim lalu dijunjungnya * serta dibukanya lalu dibacanya, tiadalah ia minta ajari lagi, tahulah ia membaca dia sendirinya; maka fakir dan Syekh Ismail pun keduanya mengucap, ‘Al-hamduli’lllahi Rabbi’l-alamin’.”…
(Hikayat Raja Pasai, 1997:  13)
            Daripada petikan tersebut menghuraikan bahawa  Sultan Malikul Saleh membaca tiga puluh juzuk al-Quran. Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa pegangan masyarakat pada zaman tersebut adalah berpaksikan kepada al-Quran. Keadaan Sultan Malikul Saleh yang mampu membaca tiga puluh juz al-Quran menunjukkan bahawa raja yang memerintah sesuatu negara semestinya perlu menguasai ilmu agama agar pemerintahannya dapat berjalan dengan aman dan makmur. Hal ini jelas menunjukkan pandangan hidup masyarakat dalam hikayat ini yang menjaga hubungan mereka dengan Tuhan. Selain itu, contoh petikan berikut juga merupakan petikan yang  menunjukkan kepentingan ajaran Islam dalam masyarakat pada zaman ini.

“…’Hai cucuku kedua, ketahuilah oleh kamu, karnan aku ini sakit sangat, rasanya hampirlah hukum Allah taala akan daku berpindah daripada negeri yang fana ke negeri yang baka itu: adapun peninggalku* ini baik-baik kamu kedua memelihara pekerjaan [al-]amr bi’l ma’ruf wa [‘l]-nahy ‘an-munkar. Sebermula jangan kamu banyak tamak akan arta dunia, karna dunia ini tempat segala yang maghrur dan jangan sangat kamu ingin  akan segala yang tiada memberi manfaat akan akmu di akhirat, dan jangan kamu tiada muafakat dua bersaudara daripada segala pekerjaan kamu…”
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 21-22)

            Petikan ini menunjukkan bahawa pesan yang diberikan oleh Sultan Malikul Saleh terhadap kedua orang cucunya untuk sentiasa melakukan perkara mengikut hukum Allah. Sultan Malikul Saleh banyak memberi pesan berlandaskan kepada syariat Islam itu sendiri agar melakukan perbuatan baik dan meninggalkan perbuatan jahat. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa pemerintah di zaman hikayat ini mementingkan pegangan agama yang kuat dalam kehidupan seharian mereka. Setiap perilaku yang ditunjukkan perlulah mengikut hukum agama Allah dan wasiat yang ditinggalkan oleh Sultan Malikul Saleh kepada cucunya mengandungi amanat dan tanggungjawab yang jelas mengikuti hukum agama Allah. Hal ini juga menjelaskan pandangan hidup berkaitan hubungan antara manusia dengan Tuhan yang sangat dijaga.

6.0 NILAI ILMU YANG TERDAPAT DALAM HIKAYAT RAJA PASAI
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), perkataan nilai merujuk kepada kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial (Mohd Rashid Md Idris, 2011: 12), nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Kemudian, konsep ilmu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam pelbagai bentuk maklumat. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung pelbagai kemusykilan dan lain-lain.
6.1 Ilmu Firasat
Antara nilai ilmu yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai ialah ilmu firasat. Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Ilmu firasat yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai ialah ilmu firasat terhadap binatang. Ilmu firasat terhadap binatang juga diamalkan dalam Hikayat Raja Pasai. Berikutan itu, anjing diberikan penghormatan oleh Raja-raja Melayu zaman terdahulu. Anjing memainkan peranan penting sehingga tertubuhnya sebuah negeri. Dalam Hikayat Raja Pasai, penemuan negeri Pasai juga dikaitkan dengan anjing perburuan Merah Silu (sesudah memeluk islam, bergelar Sultan Malikul Saleh). Anjing perburuan itu telah menyalak di sebuah tanah tinggi tanpa henti. Sultan Malkul Saleh kemudian berasakan bahawa tempat itu sesuai dibuat negeri lalu dinamakan tempat itu Pasai, sempena nama anjing perburuan tadi. Contoh petikan dalam
“Maka tersebutlah perkataan Merah Silau di rimba Jerana itu. Sekali persetua pada suatu hari Merah Silau pergi berburu. Maka ada sekor anjing dibawanya akan perburuan Merah Silau itu bernama Si Pasai. Maka dilepaskannya anjing itu, lalu ia menyalak di atas tanah tinggi itu. Maka dilihatnya ada seekor semut besarnya seperti kucing. Maka ditangkapnya oleh Merah Silau maka lalu dimakannya. Maka tanah tinggi itupun disuruh Merah Silau tebasi pada segala orang yang sertanya itu. Maka setelah itu diperbuatnya akan istananya.”  (Hikayat Raja Pasai, 1997: 19)

6.2 Ilmu Tafsir
Nilai ilmu yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai ialah ilmu mengenai mimpi atau ilmu tafsir mimpi. Ini jelas telah membuktikan dalam Hikayat Raja Pasai di mana Merah Silau telah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w. Merah Silau telah diajar untuk mengucap dua kalimat syahadah serta beliau telah diberitahu oleh lelaki dalam mimpi tersebut bahawa hanya binatang yang halal dan disembelih sahaja yang boleh dimakan dan binatang yang tidak disembelih diharamkan dari dimakan. Merah Silau juga telah diberitahu dalam mimpinya bahawa dalam masa 40 hari akan datang sebuah kapal dari Mekah yang membawa barang dengan harga yang berpatutan dan semuanya penumpang dari kapal itu adalah yang beragama islam serta Merah Silau dikehendaki mengikuti ajaran islam yang dibawa oleh orang-orang dari kapal tersebut.
Selain itu, Merah Silau juga telah diajar mengucap dua kalimah syahadah dan membaca al-Quran sebanyak 30 juzuk tanpa diajar oleh sesiapa pun. Selain itu, Merah Silau juga telah dikhatankan. Kemudian, Merah Silau telah diberi nama Sultan Malikul Saleh. Kemudian, datang seorang lelaki yang bernama Syekh Ismail kemudian telah berjumpa dengan Sultan Malikul Saleh. Sultan Malikul Saleh telah disuruh oleh lelaki itu untuk mengucap dua kalimah syahadah dan membaca al-quran sebanyak 30 juzuk tanpa diajar oleh lelaki tersebut. setelah lelaki itu mendengar segala yang dibaca oleh Sultan Malikul Saleh, maka ia pun bersyukur kerana Sultan Malikul Saleh mendapat anugerah dari Allah. Akhirnya, lelaki itu meminta semua penduduk di situ berkumpul dan mengajar mereka mengucap dua kalimah syahadah serta telah memeluk agama Islam.
“Sebermula maka bermimpi Merah Silau dilihatnya dalam mimpinya itu ada seorang orang menampung dagunya dengan segala jarinya dan matanya pun ditutupnya dengan empat jarinya, demikian katanya, ‘hai Merah Silau, ucap olehmu dua kalimah syahadat’. Maka sahut Merah Silau, ‘tiada hamba tahu mengucap akan dia’. Maka ujarnya, ‘bukakan mulutmu’. Maka dibukakannya oleh Merah Silau, maka diludahinya mulut Merah Silau itu, rasanya lemak manis…..”                                                                    
 (Hikayat Raja Pasai, 1997: 12)
6.3 Ilmu Jampi
Selain itu, nilai ilmu yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai ialah ilmu jampi. Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Buktinya dimana ada seorang jogi yang datang menghadap Sultan Ahmad. Jogi itu seorang yang sangat kuat sehingga dia telah dibawa untuk berjumpa dengan Sultan Ahmad. Jogi itu telah pengsan kerana sultan tersebut mempunyai tongkat sakti atau tongkat yang telah dijampi. Hal ini jelas terbukti bahawa, dalam Hikayat Raja Pasai juga mempunyai ilmu jampi walaupun pada masa itu telah ada agama Islam. Contoh petikan:
“Maka ada seorang jogi dibawanya dalam kapal keeling itu, terlalu amat sakti jogi itu; maka naiklah segala orang kapal itu serta membawa jogi itu menghadap Sultan Ahmad dan dibawanya oleh jogi itu suatu tongkat; maka dihunjamkannya tongkat itu dihadapan penghadapan Sultan Ahmad, maka (disangkutkannya dagunya pada tongkat itu, maka keempat kaki tongkat itu pun muallak. Setelah itu, maka dihunjamknnyapula sahutnya pada suatu papan, maka ia pun muallak juga, berkisar-kisar dan berpusing-pusing…maka jogi itu pun jatuh ke tanah lalu ia pengsan sebab daripada keramat Sultan itu.”    
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 31)


6.4 Ilmu Ghaib
Ilmu Ghaib adalah kemampuan melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan manusia biasa. Ilmu ghaib ialah ilmu yang boleh menghilangkan diri sendiri atau apa-apa sahaja dan tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia. Dalam Hikayat Raja Pasai, Tun Beraim Bapa mempunyai kesaktian iaitu mempunyai ilmu ghaib. Contoh yang terdapat dalam hikayat ini ialah Tun Beraim Bapa telah membelah pinang kepada dua. Buah pinang tersebut telah dilontarkan lalu Tun Beraim bapa membelah pinang tersebut, sebelah pinang tersebut telah jatuh ke lantai manakala sebelah lagi telah ghaib.
….Baginda berbahasa pula baginda dengan gurunya pahlawan Kampung Langgar, maka dilontar sebuah pinang kotai. Maka diparangnya oleh Tun Beraim Bapa penggal dua, sebelah ghaib tiada kelihatan dan sebelah terlantar di bumi...
(Hikayat Raja Pasai, 1997: 74)

7.0 FALSAFAH
Istilah falsafah berasal daripada bahasa Yunani “philien” dan “sophia”. “Philien” bermaksud mencintai ataunsahabat dan “Sophia” adalah kebijaksanaan” atau pengetahuan. Menurut Robert Zeuscher, ahli-ahli falsafah merupakan orang yang mencintai kebijaksanaan dan mempunyai minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan.
            Plato mengatakan bahawa falsafah merupakan ilmu yang ada atau wujud, manakala Aristotle pula mengatakan bahawa falsafah adalah kebijaksanaan atau hikmah atau ilmu pengetahuan yang menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Mekanisme falsafah secara mudahnya dapat dimaksudkan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam. Oleh itu, falsafah ialah membincangkan sesuatu secara terperinci untuk mendapat jawapan yang benar dan real terhadap sesuatu perkara.
Antara bidang falsafah yang diberi penekanan ialah etika, metafizik, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik. Dapat disimpulkan bahawa falsafah ialah suatu kesenian berfikir yang waras, bernas dan mendalam. Karya sastera yang dihasilkan yang membincangkan sesuatu subjek biasanya akan membincangkan sesuatu itu secara artistik dan estetik, maka di situlah tersimpannya mutiara falsafahnya (Mana Sikana, 1996). Dalam Hikayat Raja Pasai, terdapat beberapa unsur falsafah yang dikaji. Antaranya:
7.1 Falsafah Etika
Etika bermaksud satu ukuran dan piawaian yang digunakan untuk membezakan kelakuan seseorang sama ada baik atau buruk, menyenangkan atau tidak menyenangkan. Perkataan etika berasal daripada perkataan Greek iaitu ethos yang membawa maksud perangai. Perspektif ilmu falsafah etika digolongkan sebagai falsafah moral iaitu satu cabang ilmu falsafah yang sama secara khusus membincangkan tentang apa yang dikatakan tingkah laku yang baik dan tingkah laku yang buruk dan membincangkan hal-hal moral, adab dan nilai dalam tingkah laku manusia.
 7.1.1 Falsafah etika Islam
            Dalam Hikayat Raja Pasai, terdapat falsafah etika Islam yang lebih menekankan kepada matlamat penciptaan manusia dan peranan yang wajib dimainkan oleh Muslim dalam kehidupan individu dan masyarakat. Tanggungjawab penganut sebagai Hamba Allah dan tanggungjwab dakwah. Terdapat tiga ciri etika Islam. Pertama, tanggungjawab sebagai hamba Allah iaitu memperhambakan diri kepada Allah. Kedua, tanggungjawab sebagai khalifah Allah iaitu menegakkan hukum, mencegah perbuatan keji, membantu golongan yang teraniaya dan membanteras kezaliman. Ketiga, tanggungjawab dakwah iaitu usaha yang optimum untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kejahatan. Hikayat Raja Pasai lebih menekankan falsafah etika Islam. Seperti yang diketahui, pada zaman klasik, ilmu yang sering kali ditampilkan ialah agama Islam.
 Sebagai contoh, penulis ada menjelaskan mengenai kemasukan agama Islam ke Pasai. Merah Silu diislamkan oleh Fakir Muhammad. Pada malamnya, dia bermimpi berpandangan dengan Rasulullah. Rasulullah meminta baginda menganga mulut. Diludahinya, pada keesokannya badannya berbau narawastu. Baginda dapat membaca al-Quran tanpa diajar, kemudian menukar namanya kepada Sultan Malikul Salleh. Di Melaka, Raja Kecil Besar bermimpi berpandangan dengan keelokan Rasulullah. Rasulullah meminta baginda mengucap dua kalimat syahadat dan meminta Raja Kecil Besar menukar namanya kepada Raja Muhammad. Keesokkan harinya, didapati badannya berbau narawastu dan kalam sudah dikhatankan. Baginda dapat membaca al-Quran. Mimpi baginda menjadi kenyataan pada waktu asar kapal Syed Abdul Aziz turun ke pantai Melaka dan beliau bersembahyang di situ.  
Tujuan dimitoskan kedatangan Islam ini adalah untuk mengangungkan Islam. Hal ini memberi gambaran bahawa Islam benar-benar berkembang di Melaka, bermula di istana Melaka dan berkembangan dalam kalangan rakyat jelata. Raja Melaka yang pertama beragama Islam ialah Sultan Muhammad Syah. Gelaran Sultan digunakan setelah kedatangan Islam di Melaka. Selain itu, falsafah Islam juga dapat dibuktikan melalui wasiat Malik al-Salek iaitu:
 ‘Barang siapa yang tiada menghukumkan dengan hukum yang diturunkan oleh Allah, maka bahawasnya mereka itu menjadi kafir”.
                                                                                                     (Hikayat Raja Pasai, 2004:41)
Petikan di atas merupakan antara petikan wasiat Malik al-Saleh kepada kedua menterinya iaitu Said Semanyam al-Din dan Said Ali Gian al-Din. Wasiat tersebut mengandungi nasihat Sultan Malikul kepada. Kedua-dua perdana menterinya supaya melaksanakan pemerintahan berdasarkan hukum Islam, iaitu berdasarkan hukum al-Quran dan al-Sunnah. Peristiwa ini diikuti pula kepada oleh wasiat Malik al-Saleh kepada kepada kedua-dua cucu baginda, iaitu Sultan al-Mansur dan Sultan Malik al-Mahmud.
“...ada pun sepeninggalan ini baik-baik laku cucunda berdua memelihara pekerjaan al-amru bi’lma’rufi wa’l-nahyi ‘ani’l-munkar.”
                                                                                                     (Hikayat Raja Pasai, 2004:41)
Sebagai pemerintah negeri Islam, Malik al-Saleh memberikan panduan secara Islam kepada menteri dan cucu baginda. Ungkapan ini dijelaskan dengan terjemahan maksud al-Quran iaitu menunjukkan falsafah Islam yang diterapkan dalam Hikayat Raja Pasai.
Selain itu, falsafah Islam juga boleh ditunjukkan melalui watak Sultan Malikul Mansur apabila beliau telah singgah di kubur Semayamuddin dan membaca fatihah serta mengaji doa. Setelah membaca doa dan mengaji doa, baginda telah memberi salam kepada kubur itu. Demikian bunyi salam baginda:
 ‘Al-salam alaikum, ya dar qaum al-mu minin, wa inna in sha Allah biqum lahiqun’.
                                                                                                     (Hikayat Raja Pasai, 1997:28)
Bukan itu sahaja, dalam watak Mak Tuan Puteri juga turut terdapat falsafah Islam yang diterap. Hal ini dapat ditunjukkan apabila Mak Tuan Puteri meminta doa kepada Allah subhanahu wataala demikian bunyinya:
‘Ya Illahi. Ya Rabbi, matikanlah kiranya hamba-Mu dan tenggelamkanlah ghurab hamba-Mu dalam luat Jambu Air ini dan Kau pertemukan kiranya hamba-Mu dengan Tun Abdul Jalil itu’
                                                                                                  (Hikayat Raja Pasai, 1997: 55)
Kemudian, dengan takdir Allah, maka ghurab itu pun tenggelamlah dalam laut itu segala angkatan itu pun kembalilah ke benua Jawa.

7.2 Falsafah Estetika
Estetika adalah cabang falsafah yang membincangkan tentang keindahan. Falsafah alam boleh dihubung kait antara manusia dan alam sekitarnya iaitu cara manusia menggunakan kebijaksanaan untuk berinteraksi dengana alam. Alam sekitar membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan. Perkataan alam sekitar merujuk kepada apa sahaja yang melingkupi manusia. Dalam hikayat Raja Pasai terdapat beberapa falsafah alam yang diterapkan. Dalam Hikayat Raja Pasai, antara unsur alam yang diterapakan adalah seperti hutan belantara, buluh, sungai, binatang, tanah dan lain-lain. Misalnya petikan yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai seperti berikut:

“Raja Ahmad bercerita kepada orang tua itu yang mereka sedang memburu binatang hutan, akan tetapi masih tidak bertemu dengan sebarang binatang buruan. Setelah itu, Raja Ahmad bercerita kepada orang tua itu bahawa saudaranya mendapat seorang kanak-kanak perempuan di dalam rebung buluh betung
                    (Hikayat Raja Pasai,1997:3)
Petikan di atas jelas menunjukkan terdapat pemilihan kosa kata yang berunsur alam. Perkataan seperti binatang, hutan, rebung dan buluh betung antara contoh yang digunakan dalan Hikayat Raja Pasai ini. Selain itu, watak dalam cerita ini juga dikaitkan dengan alam. Dalam peristiwa ini Raja Muhammad telah menjumpai seorang kanak-kanak perempuan yang cantik di celahan rimbunan pokok buluh betung. Anak tersebut telah dijadikan seperti anak sendiri oleh Raja Muhammad dan dinamakan sebagai Puteri Betong. Hal ini jelas menunjukkan Raja Muhammad telah menamakan kanak-kanak perempuan tersebut dengan gelaran Puteri Betong berdasarkan tempat ia ditemui.
7.3 Falsafah Sejarah
Falsafah sejarah biasanya dikaitkan dengan persoalan sejarah itu sendiri. Dalam Hikayat Raja Pasai, falsafah sejarah ini ditunjukkan dengan sejarah pemberian nama negeri sempena nama binatang iaitu Pasai. Hal ini berlaku apabila Sultan Malikul Saleh melihat anjing buruannya iaitu Si Pasai yang takut akan pelanduk yang sedang diburunya. Si Pasai tidak berani menerkam pelanduk yang sepatutnya diterkam olehnya, tetapi sebaliknya. Di sebabkan kejadian yang luar biasa tersebut, Sultan Malikul Saleh telah membuka negeri di situ dan dinamakan sebagai Pasai apabila si Pasai telah mati dan ditanam di situ. Misalnya dalam petikan di bawah:


 ‘kata Sultan Malikul Saleh kepada orang yang ada bersama-sama baginda, “Adakah pernah kamu lihat pelanduk yang gagah seperti ini? Pada bicaraku sebab ia diam pada tempat ini, itulah sebabnya pelanduk itu menjadi gagah.’... “Kata Sultan Malikul Saleh sambil berfikir, baik tempat ini kuperbuat negeri. Anakku Sultan Malikul Tahir akan dijadikan raja di negeri ini.
                                                                                                      (Hikayat Raja Pasai, 2004:37)
           
7.4 Falsafah Politik
Falsafah politik adalah cabang ilmu dari falsafah yang memelajari tema-tema seperti politik, kebebasan, keadilan, hak milik, hak, hukum, pemerintahan, dan penegakan hukum oleh otorisal.
Dalam Hikayat Raja Pasai ini, terdapat beberapa kisah mengenai kekuasaan atau pemerintahan  raja. Raja yang sangat berkuasa dari pelbagai sudut. Raja sangat berkuasa untuk menitahkan apa sahaja kepada rakyat dan rakyat terpaksa menunaikannya sekiranya tdak mahu dihukum. Raja juga mempunyai kuasa mutlak kerana terlalu banyak menindas golongan rakyat. Hikayat Raja Pasai merupakan antara contoh yang mempamerkan sikap raja yang kejam dan mementingkan diri sendiri kerana sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan sesuatu.
            Misalnya, Sultan Ahmad bertindak membunuh anaknya Tun Beraim Bapa kerana sikap dengki baginda akan anakandanya yang digambarkan sebagai seorang pahlawan yang gagah berani. Hal ini merupakan kezaliman tragis terhadap darah daging baginda sendiri, tetapi baginda masih tetap ditaati oleh rakyatnya. (Jones,1987:52). Ketaatan rakyat yang digambarkan dalam Hikayat Raja Pasai telah mengambarkan betapa kuatnya falsafah ‘pantang anak melayu derhaka kepada rajanya’ yang merupakan satu ungkapan yang benar selagi raja tersebut menjalankan pemerintahan dengan sempurna seperti diamanahkan walaupun secara peribadinya raja itu bersikap zalim. Hal ini boleh ditunjukkan melalui petikan dalam Hikayat Raja Pasai seperti di bawah.
‘Adapun ertinya, pasuka Sultan yang dalam negeri Pasai ini membunuh anaknya dua orang, seorang bernama Tun Beraim Bapa, dari karna Sultan itu berahi akan anaknya perempuan seorang bernama Tun Medam Peria dan seorang bernama Tun Takiah Dara, dan anaknya Tun Abdul jalil pun dibunuhnya dibuangnya dalam laut Jambu Air ini...’
                                                                                                     (Hikayat Raja Pasai,1997:55)
Misalnya, Ahmad Perumadal Perumal merupakan contoh ketara yang menjadi penyebab bagi kejatuhan kerajaan Pasai. Baginda telah membunuh anakandanya sendiri iaitu Tun Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara kerana hasad dengki semata-mata. Sultan Ahmad Perumudal Perumal ini sangat menyukai perempuan dan akan mengahwini mana-mana sahaja perempuan yang baginda inginkan. Oleh sebab itu, baginda mempunyai anak seramai 30 orang. Melalui urutan peristiwa kematian puteranya Tun Abdul Jalil yang mendorong kejatuhan kerajaan Pasai akibat diserang Majapahit. Melalui peristiwa-peristiwa tersebut jelas menunjukkan bahawa kezaliman seseorang raja boleh menyebabkan runtuhnya sesebuah negara.

BIBLIOGRAFI

Ismail Ahmad. ( 2004 ). Hikayat Raja-raja Pasai. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Jones .R. (1987). Hikayat Raja Pasai. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.Kamus Dewan edisi
                keempat (2013). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus dewan edisi keempat. (2010). Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur
Mohd Rashid Idris, Siti Khairiah, Abdullah Yusof. (2010). Nilai Estetik dan Intelek dalam              
           Pantun
. Salam Sdn. Bhd.

Mohd Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya. (2014). Karya Agung
            Melayu
. Universiti Pendidikan Sultan Idris: Tanjong Malim
Nik Hassan Basri. (2007). Komsas Pengangan Teras Keterampilan. Kuala lumpur : Icon    Region             Sdn. Bhd.

Russel jones(1997). Hikayat raja pasai. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
         



 

No comments:

Post a Comment